Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Labuan – Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) muncul johan bagi Pertandingan Forum Remaja MADANI 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung di sekolah berkenaan, semalam.
Pertandingan yang melibatkan penyertaan sebanyak lapan buah sekolah menengah dari sekitar Labuan itu menyaksikan pasukan SMSL menampilkan persembahan cemerlang dalam membincangkan pelbagai isu semasa di pentas forum. Tempat kedua dimenangi oleh Sekolah Menengah St. Anthony, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan meraih tempat ketiga.
Selain muncul sebagai johan keseluruhan, SMSL turut memenangi kategori Pengerusi Terbaik yang disandang oleh Hamzey Mikail Hasni, manakala Christie Elger Christopher dari Sekolah Menengah St. Anthony dinobatkan sebagai Ahli Forum Terbaik.

Buat julung-julung kalinya, kategori Montaj Terbaik diperkenalkan pada tahun ini bagi menyuntik elemen teknologi dan kreativiti dalam pertandingan. Setiap pasukan dikehendaki menghasilkan video montaj berdurasi satu minit berdasarkan tajuk forum masing-masing. Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan berjaya memenangi kategori ini dengan montaj bertajuk “Pendidikan STEM Peneraju Masa Hadapan”.
Majlis penutupan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan, Perbadanan Labua, YBrs. Ir. Ts. Azali Ardy, yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Sukuran Taib.
Yang turut hadir, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Zulkifli Omar, yang mewakili Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya Ahmad Puteh serta Pengetua Sekolah Menengah Sains Labuan, Encik A. Zailani A. Mumin.