Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTeluk Intan – Dataran Menara Condong Teluk Intan bergema dengan irama budaya apabila generasi muda tampil menjadi nadi penggerak seni warisan dalam program “Tingkah Berpencak, Rebana Berpalu, Puisi dan Syair Berdendang”, yang berlangsung bermula dari 13 hingga 15 Jun 2025.

Menampilkan lebih 30 kumpulan seni dari seluruh negeri, acara ini membuka ruang kepada remaja dan belia untuk mengekspresikan rasa, semangat serta identiti mereka melalui pelbagai persembahan seperti silat, paluan rebana, syair warisan dan puisi kontemporari. Pelibatan aktif pelajar sekolah, mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta kumpulan seni belia membuktikan bahawa warisan seni bukan sekadar untuk dikenang, malah terus hidup sebagai wahana pembinaan jati diri dan semangat kebangsaan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, YBhg. Datuk Haji Khairuddin Tarmizi yang menegaskan peri pentingnya kesinambungan seni dan budaya dalam membina bangsa.
“Seni dan budaya adalah akar kita. Tanpa akar, pokok tidak akan teguh berdiri. Anak muda hari ini mesti berani mengangkat budaya, bukan sekadar sebagai hiburan tetapi sebagai kekuatan untuk mencorak masa hadapan yang berjati diri,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.
Acara turut diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh ternama dalam bidang budaya dan pentadbiran negara, antaranya termasuklah Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat Istana Negara merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Datuk Saharuddin Sohot; Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan; Ketua 1 PENTAS merangkap penganjur utama program, Encik Azmi Ismail.

Yang turut hadir memberikan sokongan padu ialah, Orang Kaya-kaya Laksamana Raja Mahkota merangkap Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Mejar (K) Dato’ Hj. Meor Redwan Mahayudin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan, Encik Zairul Akmal Kasim; Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Dr. Bakri Zainal Abidin, serta Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim, bersama-sama Ketua-ketua 1 dan Presiden Persatuan Penulis Kerabat GAPENA.
Program yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 malam pada setiap hari ini turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif seperti bengkel puisi, demonstrasi alat muzik tradisional dan sesi bersama-sama penyair mapan serta muda.
Dengan semangat budaya yang terus menyala di kaki Menara Condong, acara ini bukan sekadar memperingati warisan, tetapi juga mengangkatnya sebagai denyut nadi masa hadapan, dengan anak muda sebagai penerus dan pemacu utamanya.