Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Maizathul Athirah Mohd Jefree
Sintok – Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Zurinah Hassan memperlihatkan kecenderungan mengangkat citra lokaliti terpilih dalam puisi-puisinya menerusi antologi Menunggu Pesawat.
Perkara ini dikongsikan oleh ahli panel, YBrs. Dr. Mohd Haniff Mohammad Yusoff dalam sesi Bedah Buku bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Puisi Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 13 Jun, lalu.
Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah menghimpunkan dua tokoh sastera tanah air, iaitu YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin dan YBrs. Dr. Mohd Haniff Mohammad Yusoff.
Dalam sesi tersebut, Datuk Dr. Lim Swee Tin membicarakan buku 101 Malay Love Pantuns karya SN Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, manakala Dr. Mohd Haniff membedah kumpulan puisi Menunggu Pesawat hasil karya SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan melalui pembentangan bertajuk “Lokaliti dalam Naratif Sastera: Pengembaraan dalam Menunggu Pesawat”.
Menurut Dr. Mohd Haniff, keistimewaan karya Zurinah terserlah dalam puisi seperti “Studio Jalan Ampas” yang menampilkan sindiran halus terhadap masyarakat yang gagal mempertahankan warisan budaya. Puisi tersebut membawa pembaca ke ruang nostalgia budaya Melayu di Singapura, dengan simbol-simbol seperti Jins Shamsuddin, P. Ramlee dan Sarimah sebagai bayangan kegemilangan masa silam.
Namun, gambaran tersebut dikontraskan dengan imej “pagar zink”, “runtuhan studio” dan “ketiadaan tukang kayu” yang menunjukkan kepupusan warisan dan kelunturan budaya kolektif. Frasa “P. Ramlee yang lebih hidup selepas mati” memperlihatkan kritikan terhadap sikap masyarakat yang lebih menghargai seniman selepas ketiadaan mereka.
Dalam puisi “Di Kuala Lumpur Kami Sukar Berbudi”, pengarang mengangkat pertembungan antara suasana luar bandar dengan realiti kota. Dr. Mohd Haniff menjelaskan bahawa Kuala Lumpur digambarkan sebagai sebuah lokaliti yang sarat dengan tekanan dan keterasingan sosial. Simbol seperti “lebuh raya tersumbat”, “punch card” dan “telefon tangan” menggambarkan kesibukan hidup yang mengorbankan nilai kemanusiaan dan amalan berbudi.
Secara keseluruhannya, Dr. Mohd Haniff menyimpulkan bahawa SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan menggunakan puisi sebagai medium untuk menonjolkan lokaliti, bukan sekadar sebagai latar tempat, tetapi sebagai wahana kesedaran identiti bangsa dan refleksi terhadap nilai budaya yang semakin terpinggir.