Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuantan – Sebanyak 80 orang pelajar dan guru dari pelbagai sekolah menengah di daerah ini telah menyertai Bengkel Komunikasi melalui Seni Teater yang berlangsung meriah di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Teater Rajuk Pahang melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah serta JKKN Pahang ini bertujuan untuk memperkenalkan asas seni teater kepada golongan remaja, selain mencungkil bakat dan potensi mereka dalam bidang seni lakon.
Antara sekolah yang terlibat termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist Kuantan, SMK Sungai Isap Murni, SMK Gudang Rasau, SMK Seri Mahkota, dan SMK Tanjung Lumpur. Turut serta ialah pelajar dari Kolej Tingkatan Enam Astana dan mahasiswa dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS).
Menurut Presiden Kelab Teater Rajuk, Abdulah Karim atau lebih dikenali sebagai AK Hidayat, bengkel ini merupakan kesinambungan daripada program peringkat sekolah rendah yang telah dianjurkan tahun lalu dan berjaya menghimpunkan lebih 150 orang peserta.
“Bengkel ini memberikan peluang kepada para pelajar mendalami dunia teater dengan bimbingan secara langsung daripada aktivis berpengalaman. Kami berharap melalui bengkel seperti ini para pelajar dapat memupuk keyakinan diri serta semangat berpasukan dalam kalangan mereka,” jelas beliau.
Dua pembimbing utama telah mengendalikan bengkel ini, iaitu Encik Abdul Wahab Hamzah, mantan Pengarah DBP Wilayah Utara dan Cawangan Sarawak, serta Puan Syahidatul Munirah Badrul Munir, penggiat teater muda yang aktif dalam pementasan kontemporari.

Pada sesi pagi, peserta telah didedahkan kepada asas lakonan seperti kawalan vokal, penghayatan watak, teknik tubuh dan emosi. Sesi petang pula peserta dibahagikan kepada kumpulan untuk mementaskan babak berdasarkan skrip pendek yang telah diberikan.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henri, Pengarah DBP Wilayah Tengah, yang menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur dan menekankan impak positif bengkel terhadap pembangunan sahsiah pelajar.
“DBP sentiasa menyokong inisiatif seperti ini kerana bukan sahaja memupuk apresiasi seni budaya dalam kalangan remaja, malah mendidik mereka menjadi insan yang berani, kreatif dan komunikatif,” ujar beliau.
Beliau turut merujuk kepada kenyataan YAB Perdana Menteri yang menekankan kepentingan menarik minat golongan muda kepada seni, termasuklah seni teater.
Antara peserta yang memberikan maklum balas positif ialah Wan Nur Fatinah Wan Zaharudin, pelajar Tingkatan 5 dari SMK (P) Methodist, yang menyifatkan bengkel ini sebagai satu pengalaman berharga.
“Saya belajar banyak perkara baharu, terutamanya tentang ekspresi wajah dan kawalan emosi. Saya rasa lebih yakin untuk tampil di khalayak,” katanya.
Seorang lagi peserta, Emir Zulkarnain Mohd Sobri dari Tingkatan 2 SMK Sungai Isap Murni, turut berkongsi keterujaannya.
“Kami bukan sahaja belajar teori, malah diberikan peluang untuk berlakon di pentas sebenar. Seronok dan mencabar,” katanya.
Menariknya, peserta turut dikejutkan dengan kemunculan istimewa Siso Kopratasa yang sempat menitipkan kata-kata semangat dan menyampaikan lagu popular beliau, Masihkah Kau Ingat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pemangku Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Kawasan Kuantan, Tuan Haji Asmui Mustapha, pegawai dari JKKN Pahang dan DBP Wilayah Tengah serta jawatankuasa Kelab Teater Rajuk Pahang.
Menurut pihak penganjur, hasil pembelajaran bengkel ini akan diterjemahkan dalam satu pertandingan lakonan antara sekolah yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini, sebagai medan penilaian dan pendedahan lanjut kepada peserta.