Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Seminar Potensi dan Perolehan Buku Bergambar Kanak-kanak yang diadakan di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu, berjaya menghimpunkan pelbagai pihak penting dalam ekosistem perbukuan negara, antaranya termasuklah penerbit, penulis dan pelukis ilustrasi.
Seminar yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL25) ini dikelolakan oleh Big M Resources dengan mendapat tajaan penuh daripada Yayasan Bursa Malaysia. Seminar ini turut membuka ruang perbincangan strategik mengenai masa hadapan buku bergambar kanak-kanak di Malaysia, khususnya dalam usaha meningkatkan kualiti dan pengaruh karya tempatan.
Kerjasama erat turut dijalinkan bersama-sama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Perbadanan Kota Buku, Swaterbit KidS Book (SKB) dan Enable OKU Solutions (ENOKU) dalam menjayakan seminar yang bakal menjadi titik mula bagi sesebuah projek penerbitan buku bergambar kanak-kanak berbentuk inkubator, yang akan berlangsung dari Jun hingga Disember 2025.
Projek ini dikendalikan oleh Cik Mimi Salleh sebagai pengurus projek seminar, yang menekankan matlamat membina ekosistem menyeluruh dan membangunkan kapasiti pengkarya tempatan agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurut Cik Mimi Salleh,
Melalui pendekatan inkubator ini, kami mahu bukan sahaja menghasilkan buku bergambar berkualiti, tetapi juga membina kapasiti pengkarya tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Antara tokoh penting yang hadir dan berkongsi ilmu dalam seminar ini ialah Pengerusi Pengelola PBAKL, Encik Mohd Khair Ngadiron; Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Puan Suzliana Abdul Hamid; Setiausaha Malaysian Board on Books for Young People (MBBY), Puan Anita Jali; serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Puan Adibah Omar.

Mereka menyuarakan sokongan padu terhadap inisiatif ini yang bukan sahaja merangsang penghasilan bahan bacaan berkualiti untuk kanak-kanak, tetapi turut mengangkat karya tempatan ke tahap lebih tinggi melalui kolaborasi, perolehan dan platform antarabangsa.
Seminar ini dianggap sebagai langkah signifikan untuk mewujudkan gelombang baharu dalam penerbitan buku kanak-kanak tempatan serta mengukuhkan kedudukannya sebagai elemen penting dalam pembangunan literasi negara.