Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Pelancaran Buku Selangkah ke Hadapan: Pengalaman Pentadbir Petaling dalam Mendepani COVID-19 telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amiruddin Shari di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), semalam.
Mengulas tentang penerbitan buku tersebut, beliau berkata, “Sebaik sahaja negara berdepan dengan pandemik COVID-19, semua pihak teraba-raba kerana tiada dokumen untuk dijadikan rujukan. Rujukan terakhir dalam situasi lockdown (sekat keluar masuk) ialah rujukan ketika peristiwa 13 Mei, yang lebih tertumpu kepada Lembah Klang sahaja.”
Tambah beliau, krisis COVID-19 yang datang secara tiba-tiba telah menimbulkan rasa cemas dalam kalangan rakyat kerana masyarakat terpaksa beradaptasi dengan perubahan mendadak.

“Krisis timbul apabila kerangka sedia ada, baik kesihatan, pendidikan, ekonomi dan lain-lain, tidak mampu menampung beban yang mendatang. Maka, kita perlu bersedia untuk melihat kerangka itu semula supaya kerangka itu dapat diperbetulkan,” ujarnya.
Naskhah ini merupakan catatan pengalaman Dato’ Johary Anuar yang ketika itu memegang jawatan Pegawai Daerah Petaling dalam mengemudi pentadbiran dan koordinasi keselamatan sewaktu pandemik melanda negara. Daerah Petaling merupakan antara daerah paling terkesan, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebanyak enam kali, sekali gus menjadikan peranan pentadbiran daerah sebagai tonggak utama dalam menyelaras pelbagai agensi serta inisiatif bantuan.
Memetik kata-kata John F. Kennedy, “Ask not what your country can do for you, ask what you can do for your country”, naskhah ini lahir sebagai satu daripada sumbangan penjawat awam kepada negara, dalam bentuk dokumentasi pengalaman dan cabaran sebenar pihak pentadbir ketika krisis tersebut.
Turut menyumbang tulisan dalam buku ini ialah tiga orang Ketua Penolong Pegawai Daerah (pada ketika itu) iaitu Puan Julaihah Jamaludin, Puan Norazlina Yusof dan Puan Nurmariatul Akmal Che Azhar. Buku Selangkah ke Hadapan: Pengalaman Pentadbir Petaling dalam Mendepani COVID-19 telah diterbitkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).