Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Siapa sangka naskhah hasil penyelidikan dan penulisan sekumpulan suri rumah daripada Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) menempa sejarahnya yang tersendiri apabila dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Mengambil tempat di Pentas Dunia Buku, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), buku Panduan Istimewa Suri Rumah Malaysia telah dirasmikan oleh Dr. Wardah Mustafa Din, Timbalan Pengarah (Pembangunan Kerjaya Pelajar) Pusat Pembangunan Karier, UKM selaku mentor bagi penerbitan buku yang cukup bernilai dan unik ini.

Menurut beliau, “matlamat besar penghasilan buku ini adalah untuk memartabatkan peranan suri rumah di Malaysia, agar suara mereka didengari, hak mereka terbela serta potensi mereka dapat dibangunkan.”
Mengulas lanjut, beliau berharap agar inisiatif penerbitan buku panduan ini menjadi pencetus bukan sahaja kepada suri rumah, malah sesiapa sahaja yang membaca terdorong untuk menjadi agen perubahan ke arah kebaikan dalam keluarga dan masyarakat.
Buku ini turut mendapat sokongan padu daripada Khazanah Research Institute (KRI) yang bersama-sama menjalankan kajian dan pengumpulan data semasa pembangunan kandungan. Hasil penyelidikan tersebut bukan sahaja menjadi asas kepada buku panduan ini, malah dijangka memberi sumbangan penting kepada pembentukan polisi ekonomi negara.
Dalam majlis yang sama, turut diumumkan pemenang Pertandingan Reka Bentuk Kulit Buku, sebuah inisiatif bagi mengiktiraf bakat kreatif dalam kalangan suri rumah. Reka bentuk hasil ciptaan Edziani Nabila Salleh, suri rumah dari Sabah yang merangkul tempat pertama, akan diangkat sebagai muka hadapan rasmi buku panduan ini.
Naskhah yang bermakna ini dijadualkan akan dilancarkan secara rasmi sempena Konvensyen Suri 2025: Persidangan Suri Rumah Kebangsaan (KONSURI) pada bulan September nanti di The Everly, Putrajaya. KONSURI 2025 menyasarkan kehadiran seramai 500 orang suri rumah dari seluruh negara.
Antara daya tarikan KONSURI 2025 ialah sesi pembentangan oleh panel-panel pakar yang terlibat secara langsung dalam penghasilan buku panduan ini. Pembentangan tersebut bakal menonjolkan suara suri rumah yang akan mengupas isu tentang pendidikan, kesihatan, sosial dan ekonomi.
Untuk maklumat lanjut tentang KONSURI 2025, layari laman sesawang https://surirumahrahmah.com/konsuri2025/.