Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Sumbangan tokoh agung bahasa, Pendeta Za’ba, dalam memartabatkan bahasa Melayu tidak dapat disangkal. Namun, masih banyak karya beliau yang belum digali dan diketengahkan kepada masyarakat umum.
Akademi Jawi Malaysia (AJM) kini tampil menggalas tanggungjawab sosial ini dengan memperkenalkan semula tokoh besar ini menerusi projek khas yang bertujuan untuk merungkai khazanah intelektual Za’ba yang masih tersembunyi.
Projek ini tercetus hasil daripada inisiatif Norziati Rosman, yang melihat kaitan erat antara bahasa Jawi dengan Melayu, serta nama Za’ba yang tidak dapat dipisahkan daripada naratif tersebut.
“Kami ke Arkib Negara untuk meneliti koleksi khas Za’ba yang terdapat di sana. Memang ada pelbagai tulisan dan bahan beliau yang sangat banyak. Apabila kami bandingkan dengan senarai karya-karya terdahulu, kami dapati masih ada karya yang belum dimasukkan atau diterbitkan,” ujar beliau ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), semalam.
Norziati yang juga kurator projek ini percaya bahawa kebanyakan masyarakat hari ini hanya mengenali sebahagian kecil daripada keseluruhan karya Za’ba. Malah, beliau berpendapat, terdapat kemungkinan masih banyak manuskrip yang belum direkodkan atau diketahui umum.
“Dari situ, tercetuslah idea untuk bekerjasama dengan AJM. Kami mahu masyarakat mengenali semula Za’ba, tetapi melalui pendekatan yang mudah difahami, ringkas dan bersifat visual agar lebih menarik minat generasi baharu,” jelasnya.
Melalui Siri Pengenal Za’ba, AJM memuatkan infografik berinformasi tentang tokoh tersebut. Walaupun bersifat ringkas, Norziati menyifatkan usaha ini menuntut komitmen yang tinggi kerana bahan rujukan mengenai Za’ba berselerak dalam pelbagai penerbitan dan tidak hanya direkodkan dalam satu naskhah.
“Saya perlu baca dan teliti pelbagai sumber kerana kisah Za’ba tidak didokumentasikan secara menyeluruh dalam satu buku. Satu daripada penemuan menarik ialah terjemahan beliau terhadap karya Shakespeare seperti Kisah Suka dan Kisah Duka, yang jarang diketahui umum selain Anak Raja Anak Papa,” tambahnya.
Selain Siri Pengenal Za’ba, AJM turut menerbitkan Siri Terbitan Istimewa Za’ba yang merangkumi terjemahan karya Shakespeare seperti Rosalind: Cinta dalam Samaran (As You Like It) dan Ribut di Laut (The Tempest), serta kompilasi Empat Karangan Pendeta Za’ba.
Menurut Norziati, siri-siri ini sangat berbaloi dimiliki khususnya oleh pembaca baharu yang ingin mengenali siapa sebenarnya Za’ba dan memahami sumbangan intelektual beliau.
“Za’ba seorang penulis yang sangat produktif dan tidak ramai yang boleh menandingi semangat serta keluasan ilmu beliau. Kami masih belum habis menyingkap seluruh khazanah beliau,” ujar Norziati menutup bicara.