Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Majlis Anugerah Inspirasi Pendidikan bersempena dengan sambutan Hari Guru peringkat universiti yang berlangsung meriah di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah pada 14 Mei 2025.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk mengiktiraf jasa dan dedikasi para pendidik, selain memupuk budaya penghargaan dalam kalangan warga UPSI. Di samping itu, program ini turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara institusi, industri dan masyarakat dalam merealisasikan agenda pendidikan holistik negara.
Majlis yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, YBrs. Profesor Dr. Suriani Abu Bakar.
Dalam ucapannya, Profesor Dr. Suriani menekankan peranan guru sebagai “arkitek pembangunan negara” yang bukan hanya bertanggungjawab menyampaikan ilmu, tetapi turut membentuk sahsiah dan jati diri generasi masa hadapan.
“Budaya menghargai guru perlu terus disemai dan diperkukuh, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat umum, malah dalam institusi pendidikan tinggi,” ujar beliau.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai pengisian bermakna, antaranya termasuklah deklamasi puisi Hari Guru oleh Azlan Sheik Razak yang mewakili Maybank, menyampaikan penghargaan tulus kepada pengorbanan para pendidik.
Tumpuan utama acara diberikan kepada persembahan istimewa oleh pelajar Sekolah Rendah Seri Budiman dan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI yang mempersembahkan lagu Kami Guru Malaysia. Persembahan ini menggambarkan secara simbolik besarnya peranan guru dalam membimbing anak bangsa mencapai cita-cita, sekali gus mengangkat martabat keluarga dan masyarakat.
Kemuncak majlis menyaksikan penganugerahan Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman kepada YBhg. Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof, sebagai pengiktirafan atas kepimpinan dan sumbangan cemerlang beliau dalam pembangunan pendidikan negara. Anugerah ini merupakan penghormatan tertinggi UPSI kepada tokoh pendidik yang menjadi sumber inspirasi buat mahasiswa yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai guru pada masa hadapan.