Diterbitkan pada 1 Mei 2025, 07:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Salam pembuka syair nukilan,

Khidmat budi rakan taulan,

Kepada segala industri membuka jalan,

Rezeki halal setiap bulan.

 

Seawal subuh bergegas pergi,

Mengharung kesesakan setiap pagi,

Kalau lewat bonus tak bagi,

Bos panggil dengan nada tinggi.

 

Bekerja dia sepenuh hati,

Hujan terik gigih berbakti,

Kompeni maju menjadi bukti,

Untung masuk tak henti-henti.

 

Bangunan tinggi teguh berdiri,

Siap dalam tempoh diberi,

Memenuhi segala pelan dan ciri,

Menjadi mercu sesebuah negeri.

 

Terjaga rapi ladang-ladang,

Baja dan racun mengikut cadang,

Pohon hijau dan rendang,

Hasilnya tak cukup gudang.

 

Lancar pesanan di restoran,

Layanan mesra reda kelaparan,

Pantas hidangan ikut giliran,

Dijamu enak depan kugiran.

 

Jalan tak elok diselenggara,

Berdiri kibar isyarat bendera,

Hingga lewat malam menjadi wira,

Supaya tiada jatuh cedera.

 

Di pejabat cepat urusan,

Pegawai tersenyum tertib lisan,

Apa pertanyaan dijawab ihsan,

Pelanggan gembira buat ulasan.

 

Gahnya dalam sebuah kota,

Dari menara ke longkang melata,

Terjaga ia menjadi fakta,

Di tangan pekerja tak tercerita.

 

Pekerja nadi sebuah negara,

Setimpal diberi ganjaran tanpa berkira,

Supaya keluarga dapat disara,

Terus berjasa dengan gembira.

 

Akhir kalam penutup karangan,

Latih kemahiran beri sumbangan,

Jangan anak muda hanyut berangan,

Banyak syarikat masih kekurangan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi