Diterbitkan pada 18 April 2025, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Majlis Wacana Merong Mahawangsa dan Pelancaran Buku DBP akan berlangsung pada 24 April 2025 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Majlis ini akan disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia (YAM) Tunku Temenggong Kedah, Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Dalam siaran Program Cakna Bahasa menerusi BERNAMA Radio semalam, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana majlis tersebut, Dr. Norhafizah Mohamed Husin, berkongsi bahawa wacana ini bukan sahaja akan membincangkan kandungan dan kajian terhadap Hikayat Merong Mahawangsa, yang mengisahkan penubuhan Negeri Kedah lebih 5000 tahun lalu, tetapi juga memperkenalkan kaedah baharu dalam penyelidikan naskhah Melayu.

“Wacana ini turut menonjolkan keistimewaan naskhah tersebut dari pelbagai aspek, antaranya termasuklah tafsiran terhadap peristiwa sejarah, ciri-ciri bahasa dan nilai sasteranya,” ujar beliau.

Sebagai pelengkap kepada buku Hikayat Merong Mahawangsa: Interpretasi Teks dan Nilai Sejarah, dua lagi buku akan turut dilancarkan, iaitu Kamus Loghat Kedah dan Bahasa Kentak Bong: Huraian Fonologi dan Nahu. Bahasa Kentak Bong merupakan bahasa masyarakat Orang Asli yang dahulunya menetap di Kedah sebelum berpindah ke Grik, Perak.

Sumber: Laman Facebook DBP

Kedua-dua buku ini diterbitkan sebagai bahan rujukan untuk membantu pembaca memahami makna tersirat dalam dialek Kedah dan bahasa Orang Asli yang terdapat dalam hikayat tersebut.

DBP berharap agar Hikayat Merong Mahawangsa dapat terus dilestarikan sebagai warisan negara yang bernilai tinggi. Selain menggalakkan penyelidikan terhadap karya sastera Melayu klasik, DBP juga menyasarkan penglibatan lebih ramai penyelidik muda dalam bidang ini.

Bagi memastikan kesinambungan dan jangkauan hikayat ini kepada generasi muda, DBP turut merancang penerbitan dalam format yang lebih mudah difahami, antaranya termasuklah buku cerita kanak-kanak, novel, drama dan teater.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi