Diterbitkan pada 7 April 2025, 19:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

GombakInisiatif pemberian buku percuma oleh BookXcess di cawangan KL East Mall sejak Jumaat lalu telah menarik perhatian ribuan peminat buku daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur yang sanggup datang seawal pukul 8 pagi untuk mendapatkan bahan bacaan pilihan mereka secara percuma.

Sepanjang tiga hari inisiatif ini berlangsung, sebanyak 200,000 naskhah buku pelbagai genre telah diedarkan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, berikutan penutupan cawangan tersebut. Setiap individu dibenarkan mengambil maksimum 10 buah buku.

Kehadiran pengunjung seawal pukul 8 pagi di KL East Mall membanjiri inisiatif pemberian buku percuma selama tiga hari, berturut-turut.

“Saya tiba awal di sini, jadi saya hanya perlu menunggu sekitar 30 minit sahaja. Walaupun agak sesak dan sukar untuk memilih buku, pengalaman ini tetap berbaloi,” kata Basyirah, seorang daripada pengunjung yang hadir.

Sementara itu, Nur, seorang suri rumah, menyatakan bahawa beliau sangat teruja melihat rakyat Malaysia berlumba-lumba mendapatkan bahan bacaan. Hal ini membuktikan bahawa buku fizikal masih mendapat tempat di hati pembaca.

Sejak mula beroperasi sebagai kedai majalah pada tahun 2009, BookXcess telah berkembang pesat dan membuka cawangan pertama di Amcorp Mall tujuh tahun kemudian. Kini, rangkaiannya telah berkembang kepada 22 cawangan di seluruh negara.

Diasaskan oleh pasangan Jacqueline Ng dan Andrew Yap, BookXcess berpegang pada misi untuk memudahkan akses kepada bahan bacaan untuk semua lapisan masyarakat, selaras dengan maksud nama syarikatnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi