Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kota Bharu – Dakwah disampaikan bukan hanya melalui lisan dan perbuatan, tetapi juga tulisan yang penuh nilai dan hikmah. Sejarah membuktikan bahawa karya ilmuwan dan ulama terdahulu meninggalkan kesan mendalam serta tulisan mampu bertahan mengatasi zaman dan mengubah pemikiran ke arah kebaikan.
Demikian ditegaskan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Islam Kelantan, Encik Amran Mamat, ketika berucap di hadapan 500 orang pelajar sekolah menengah dan rendah di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, dalam era digital ini, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran, terutamanya dalam media sosial. Setiap kata dan tulisan kini dapat tersebar dengan begitu cepat dan mampu membentuk pemikiran masyarakat. Jelasnya lagi,
Kita perlu menjadi penulis yang bijak dan bertanggungjawab, menghindari isu-isu sensitif yang boleh menggores hati mana-mana pihak serta memastikan tulisan kita tidak dieksploitasi. Penulisan yang baik harus bebas daripada mencabar sensitiviti 3R (Religion, Race and Royal).
Program Kem Dai Pena Muda (KDPM) Peringkat Negeri Kelantan Siri 1 yang diadakan di SMKA Melor, Kota Bharu, ini merupakan inisiatif untuk melahirkan penulis muda yang tidak hanya mahir dalam seni penulisan, tetapi juga dapat menggunakan pena sebagai alat untuk menyebarkan dakwah dan kebaikan kepada masyarakat.

Encik Amran turut menitipkan pesan kepada semua peserta agar terus berkarya dan berdakwah melalui pena. “Jadikan penulisan sebagai perjuangan yang istiqamah, bukan sekadar aktiviti sementara,” ujarnya.
Dalam program ini, para peserta berpeluang mengikuti bengkel penulisan cerpen yang disampaikan oleh tiga orang penulis berpengalaman, iaitu M. Arif (Jom Pakat Tulis Cerpen), Mashanis Mohamad (Kaedah Padat Menulis Cerpen) dan Rashidah Othman (Teknik Penulisan KDPM).
M. Arif selaku fasilitator yang memimpin sesi pertama, turut berkongsi konsep cerpen dalam konteks Islam, etika penulisan dan 18 tatacara menulis karya sastera Islam. Beliau juga turut memberikan panduan praktikal mengenai pemilihan tajuk, teknik penulisan yang bijak serta cara menghasilkan karya yang berkualiti.
Melalui bimbingan ini, para peserta diharapkan dapat menghasilkan karya terbaik yang dapat memberikan impak positif kepada masyarakat. Hanya 100 karya terbaik akan dipilih untuk melanjutkan penyertaan dalam Program KDPM Siri 2, yang dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 April nanti.