Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Pulau Pinang – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyemarakkan bulan Ramadan dengan mengadakan Program Ihya Ramadan, yang berlangsung pada 21 Mac, lalu.
Melalui program ini, aktiviti penyediaan dan pengedaran juadah berbuka puasa serta sesi Penghayatan al-Quran Juz Amma turut dilibatkan bagi memperkukuh pengisian rohani dan mengeratkan hubungan warga PPPJJ sebagai cerminan semangat kebersamaan untuk menghidupkan nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan warga.
Sebagai sebahagian daripada program, staf PPPJJ berganding bahu menyediakan bubur lambuk, kari ikan merah, ikan bawal dan lontong untuk diagihkan kepada warga kampus, antaranya termasuklah para pensyarah, pekerja dan pelajar.
Dekan PPPJJ, Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaakob, turut mezahirkan penghargaan beliau kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Ihya Ramadan pada tahun ini. Beliau berkata bahawa,
“Ramadan bukan hanya tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menghayati nilai murni seperti berkongsi rezeki dan memperbanyakkan amalan ibadah. Inisiatif ini membuktikan semangat kekeluargaan yang tinggi dalam kalangan staf PPPJJ.”
Timbalan Dekan PPPJJ, Dr. Chua Hang Kuen, yang turut hadir menekankan bahawa program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama staf, tetapi juga menyuburkan amalan memberi dalam organisasi. Beliau turut menyatakan bahawa beliau memperoleh manfaat daripada program ini, terutamanya dalam mempelajari cara memasak bubur lambuk serta merasai kemeriahan bulan Ramadan.

Selain penyediaan juadah berbuka, program ini juga turut diisi dengan sesi Penghayatan al-Quran Juz Amma, yang disampaikan secara berkala dua kali seminggu oleh pensyarah terpilih di PPPJJ.
Sesi ini memberikan fokus kepada pemahaman ayat-ayat suci yang sering dibaca dalam solat dan kehidupan seharian, serta menggalakkan warga PPPJJ untuk lebih mendalami maksud dan pengajaran daripada al-Quran.