Diterbitkan pada 25 Februari 2025, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Penulis antologi Himpunan Puisi Islam 1.0: Menelusuri Ayat-ayat Pilihan Keagungan Tuhan Rabbul Jalil, Dato’ Dr. Haji Ahmad Munawar Abdul Jalil atau lebih mesra dikenali sebagai H. A. Munawar, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sayap Remaja Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP)-UnIPSAS atas kejayaan penganjuran Pertandingan Baca Puisi bersempena dengan sambutan Isra’ dan Mikraj peringkat negeri Pahang.

Ucapan penghargaan ini disampaikan oleh H. A. Munawar dalam majlis yang berlangsung di Auditorium UnIPSAS pada 26 Januari 2025, yang lalu.

Dalam ucapannya, beliau yang juga Timbalan Presiden DPMP, turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah yang diketuai oleh Puan Nurul Julia Alani Henri atas sokongan berterusan dalam merealisasikan penganjuran acara ini. Ujarnya,

Pertandingan ini merupakan titik permulaan yang sangat penting dalam usaha memperkembangkan dan memartabatkan puisi Islam ke peringkat yang lebih luas. Selain itu, program ini turut bertujuan untuk memperkukuhkan kesedaran masyarakat tentang keindahan dan nilai Islam melalui sastera,

Tambahnya lagi,

Sokongan daripada pihak DBP amat penting dalam memperkasakan Sayap Remaja DPMP-UnIPSAS, yang kini semakin aktif menjadi penggerak utama dalam memajukan puisi dan sastera Islam di Malaysia.

Beliau juga menekankan hasrat DPMP untuk menjadi hub sastera Islam yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengumpulan karya, tetapi juga bertujuan untuk melahirkan sasterawan Islam ke peringkat antarabangsa.

Dalam pertandingan bersempena Israk Mikraj tersebut, puisi-puisi daripada Himpunan Puisi Islam 1.0: Menelusuri Ayat-ayat Pilihan Keagungan Tuhan Rabbul Jalil telah dipilih sebagai bahan bacaan bagi para peserta. Antologi ini menampilkan puisi yang diilhamkan daripada ayat al-Quran yang memberikan inspirasi dan pemahaman tentang kebesaran Allah SWT.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Pengajian Asasi UnIPSAS, yang mewakili Naib Canselor UnIPSAS. Turut hadir ialah Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henri, bersama-sama pegawai dari UnIPSAS dan DBP Wilayah Tengah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi