Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuantan – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah terus menunjukkan komitmen teguh dalam menyokong pelbagai program yang melibatkan bahasa dan seni, khususnya yang dijalankan oleh persatuan-persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO).
Komitmen ini dinyatakan oleh Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henri dalam ucapannya semasa Pertandingan Baca Puisi bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), pada 2 Februari yang lalu.
Puan Nurul Julia turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) kawasan Kuantan dan Sayap Remaja DPMP-UniPSAS atas usaha gigih mereka menganjurkan pertandingan baca puisi yang penuh makna itu.
Menurut beliau, inisiatif yang diambil oleh DPMP dan Sayap Remaja DPMP-UniPSAS harus dipuji kerana berjaya menyediakan pelantar untuk memartabatkan bahasa Melayu dan kesusasteraan negara dalam kalangan generasi muda. Jelasnya lagi,
Pertandingan ini bukan sahaja memberikan ruang kepada peserta untuk memperlihatkan bakat mereka dalam seni bahasa, tetapi juga menggambarkan betapa pentingnya kita memelihara dan mengembangkan bahasa kebangsaan. Kami di DBP sangat menghargai kerjasama dengan DPMP dan UniPSAS dan berharap agar hubungan ini terus berpanjangan.
Beliau juga menegaskan bahawa DBP memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak luar, antaranya termasuklah persatuan penulis, mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) dan golongan muda untuk terus memartabatkan bahasa serta kesusasteraan kebangsaan.

Puan Nurul Julia turut merujuk kepada ucapan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025 yang menekankan betapa pentingnya pelibatan generasi muda dalam program-program kebahasaan, kebudayaan dan kesusasteraan.
“Pelibatan golongan muda dalam aktiviti kebahasaan harus diteruskan dan diperluaskan kerana merekalah yang akan meneruskan perjuangan bahasa dan budaya kita di masa hadapan,” katanya lagi.
Sebagai penutup bagi pertandingan baca puisi tersebut, Puan Nurul Julia berharap ini bukan sekadar penamat, tetapi merupakan titik permulaan yang membawa kepada kerjasama yang lebih erat antara DBP dengan semua pihak yang terlibat dalam usaha memajukan bahasa Melayu dan seni budaya negara.