Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis pembukaan Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBPWT) melalui kerjasama Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) telah bermula pada 31 Januari dan akan berlangsung hingga 22 Februari 2025.
Bengkel ini diadakan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu, dan telah menerima penyertaan sebanyak 140 orang peserta.
Bengkel ini turut menampilkan penceramah khas, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan, yang berkongsi kepakaran dalam bidang penulisan puisi dan seni berbahasa. Beliau menekankan bahawa penulisan puisi bukan sekadar tentang susunan perkataan, tetapi lebih kepada medium untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan secara mendalam, mengutamakan keindahan dan makna yang terkandung dalamnya.

Menurut Dato’ Dr. Zurinah,
Penulisan deskriptif lebih menekankan ketepatan fakta, manakala penulisan kreatif melibatkan unsur imaginatif yang lebih bebas dan ekspresif.
Beliau turut menambah,
Satu daripada cara untuk menyuburkan idea adalah dengan berkongsi pemikiran bersama-sama orang lain. Satu daripadanya adalah dengan memperbanyakkan pembacaan yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran penulisan.
Selain itu, beliau juga menekankan peri pentingnya pemerhatian terhadap alam semula jadi serta perbualan dengan orang lain sebagai sumber inspirasi yang dapat merangsang idea bagi penulis.
“Sesuatu perkataan bukan sahaja membawa makna, tetapi juga mencipta suasana yang mendalam dalam penulisan puisi,” ujar beliau menutup sesi perkongsian yang berlangsung secara dalam talian.

Majlis pembukaan ini turut disempurnakan oleh Pengarah DBPWT, Puan Ariza Che Ismail yang dilihat menyambut baik kehadiran para penulis dalam bengkel ini, sebagai bukti komitmen mereka untuk mendalami dan memperkaya ilmu penulisan.