Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Johan Pertandingan Bercerita TaHa Cilik 2024, menjadi milik adik Zufar Nabih Mohd Fadizan yang berjaya memukau juri dengan seni penceritaannya yang kreatif dan penuh dengan keyakinan diri.
Kemenangan tersebut membolehkan adik Zufar Nabih berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM1000, pakej percutian domestik bernilai RM500 dan cenderahati eksklusif daripada pihak Tabung Haji (TH).

Buat pertama kalinya TH menerusi kelab TaHa menganjurkan Pertandingan Bercerita TaHa Cilik 2024 sebagai satu daripada inisiatif untuk memupuk minat kanak-kanak meneladani kisah para anbia melalui seni penceritaan secara kreatif.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Encik Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata bahawa peringkat saringan pertandingan yang bermula pada Jun lalu, mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ahli kelab TaHa. Jelasnya,
TH melalui Kelab TaHa sentiasa komited untuk menganjurkan program dan aktiviti yang dapat memberikan manfaat berterusan kepada ahli-ahlinya.
Penganjuran pertandingan bercerita yang julung-julung kali diadakan ini dilihat berjaya menarik minat peserta yang rata-rata berusia antara tujuh hingga 12 tahun.
Naib johan pertandingan dirangkul oleh adik Muhammad Irfan Mohd Rosdan dari Tanjung Malim, Perak dan tempat ketiga menjadi milik adik Nur Aisyah Ariani Jufri dari Semporna, Sabah.
Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM700 dan RM500, pakej percutian domestik serta cenderahati eksklusif daripada pihak TH.

Barisan juri penilaian bagi Pertandingan Bercerita TaHa 2024 terdiri daripada personaliti dan penerbit rancangan, Ahmad Fedtri Yahya; Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nur Fatiha Fadila Abu Bakar dan Ketua Pemerkasaan Sahsiah dan Psikologi di Jabatan Modal Insan TH, Ustaz Shahrul Azam Noor Zeli.