Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Malam Baca Puisi PENA melabuhkan tirainya dengan penganjuran Majlis Kemuncak Puisi PENA 2024 yang berlangsung pada 18 Disember, lalu.
Acara bulanan Malam Baca Puisi PENA 2024 pada kali ini diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) yang berlangsung di Teres Restoran MZ, Hotel Royal Park, Bangi.
Malam Kemuncak ini turut menyaksikan para penyair dari seluruh negeri yang turun untuk bersama-sama bagi memeriahkan lagi suasana dengan bacaan puisi dan lagu puisi sebagai penutup bagi tahun 2024.
Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam ucapannya menegaskan bahawa acara seperti ini dilihat penting untuk mengangkat martabat sastera di mata masyarakat.
Objektif Malam Baca Puisi PENA ini diadakan untuk menyemarakkan lagi program sastera, kerana tanpa usaha seperti ini, kekuatan kita sukar untuk dilihat oleh masyarakat umum.
Dalam majlis yang sama, CEO Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar turut menyatakan kesediaan mereka untuk terus menjadi rakan kerjasama bagi penganjuran Malam Baca Puisi PENA 2025, sekali gus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan sastera tanah air.
Sebagai pembuka acara, adik Sufi Iman yang hadir dengan puisi bertajuk “Pahlawan Kemerdekaan” karya SN Dato’ Usman Awang berjaya menyuntik rasa semangat dalam kalangan penonton.
Kehadiran penerima Anugerah Sastera Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2023, Muhammad Lutfi Ishak sebagai tetamu khas pada malam itu turut menyerikan lagi majlis dengan mendeklamasikan empat buah puisi pendek yang bertemakan cinta.