Diterbitkan pada 23 Disember 2024, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kalau ikut rasa kalbu,

Inginku beku siratan rindu,

Suratan indah aku, dia dan dirimu.

 

Namun memori bertukar tragedi,

Mimpi indah ke mimpi ngeri,

Bukan khayalan tetapi realiti,

Hancur lebur angkara entiti.

 

Tiada terasa momen manis,

Memoir ingatan makin terhakis,

Pedih sakit luka mengikis,

Rakus zalim kejam zionis.

 

Syurga dunia lenyap sekelip mata,

Ikatan kasih terhempas kaca,

Ikatan sayang abadi terlerai,

Air mata luluh berderai,

Nyawa direnggut jasad terburai,

Tak siapa sempat mengangkat membelai.

 

Diam, duduk sejenak terngiang di benak,

Anak kita berlari keriangan,

Anak mereka berlari ketakutan,

Anak kita di mercu kejayaan,

Anak mereka? Di ambang kematian.

 

Ribut jiwa gelora atma,

Tunggu masa panggilan Ilahi,

Lailahaillallah keramat sanubari

Tak bernisan hanya diratap dan dinanti.

 

Masih wujudkah keamanan di bawah langit yang sama?

Masih adakah kesenangan yang akan dirasa atau sekadar angan-angan seorang peminta?

Berpeluangkah anak mereka melihat dunia,

Dunia yang bebas daripada cengkaman pendosa?

 

Terdetik seketika,

Adakah keamanan hanya ditugu?

Mungkinkah kebebasan kembali berlagu atau sekadar kebebasan yang dirindu?

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi