Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) nekad menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) yang akan diteruskan selama 10 hari pada tahun hadapan sebagaimana kebiasaannya sepanjang 18 tahun penganjuran pesta buku di negeri itu.
Dalam SIFB2024 yang berlangsung selama tujuh hari di Setia City Convention Centre, Setia Alam telah berjaya menarik lebih 230,000 pengunjung, mencerminkan sokongan besar masyarakat terhadap literasi, teknologi dan pendidikan.
Majlis perasmian SIBF 2024 telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 27 November lalu sebagai sokongan baginda terhadap komitmen kerajaan negeri dalam menjadikan pendidikan dan inovasi sebagai tonggak pembangunan.
Dalam majlis yang sama, Kerajaan Negeri Selangor turut menganjurkan Persidangan Pendidikan Selangor (SES) 2024 yang merangkumi empat program utama, termasuk SIBF, Selangor R&D and Innovation Expo (SRIE), Selangor Advance Skills (SAS) dan Selangor EDU-STEM Carnival.
Melalui program-program ini, Kerajaan Negeri Selangor secara tidak langsung memperlihatkan usaha Selangor dalam memperkukuhkan pendidikan STEM, TVET, serta inisiatif teknologi lain.
SRIE menonjolkan sinergi antara penyelidikan dan industri dengan 2,000 penyertaan melalui Idea Bank dan Pertandingan Inovasi Anak Selangor.
Sementara itu, SIBF 2024 turut memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab literasi serantau dengan menampilkan sebanyak 320 pempamer dari pelbagai negara, termasuk Singapura, Indonesia dan China.
Dalam pada itu, SIBF2024 turut memberikan tumpuan kepada hubungan diplomatik melalui pemilihan China sebagai negara fokus sempena ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-China.
Dalam bidang seni, Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah turut menerima sebanyak 244 penyertaan daripada dua kategori umur iaitu 13 hingga 17 tahun dan 18 tahun ke atas.
Lebih daripada 280 aktiviti diadakan sepanjang acara melibatakan lima pentas iaitu pentas utama, pentas piano, pentas kanak-kanak, pentas foyer dan pentas akademik.