Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Georgetown Literary Festival 2024 (GTLF24) yang berlangsung pada 29 November hingga 1 Disember 2024 kembali menemui penggemar sastera dengan tema “Word on The Street“.
Memasuki penganjuran kali yang ke-14, GTLF24 menampilkan sebanyak 30 orang penulis dari tujuh buah negara untuk berkongsi tentang rasa, suara dan perjalanan yang berjaya membentuk kepengarangan mereka melalui sebuah pengalaman.
Kehadiran GTLF24 pada kali ini dilihat tidak hanya mengangkat penulis tempatan tetapi juga keterlibatan beberapa penulis antarabangsa yang turut sama memeriahkan ranah sastera tanah air melalui perkongsian pendapat dan silang budaya dalam kepengarangan mereka.
Antaranya termasuklah penulis kelahiran Belgium, Jeroen Olyslaegers; calon Governor General’s Award, Sheung-King; dan novelis Taiwan, Kevin Chen.
Pemilihan bandar Georgetown sebagai lokasi utama sememangnya bertepatan dengan prinsip GTLF24 yang ingin berkongsi kepada umum berkaitan dengan kepentingan sastera dalam mengekspresikan pengalaman kota dan kuasa bahasa yang berjaya membentuk masyarakat.
Antara pemilihan lokasi yang dipilih pada tahun ini termasuklah Bangunan UAB (Think City), Bangunan Wawasan, E&O Hotel, Khoo Kongsi, St. Xavier’s Institution dan The Courtyard.
GTLF24 anjuran Penang Institute ini turut bekerjasama dengan beberapa penaja seperti Greatech, HSBC, Gerak Budaya, thinkcity, Flanders Literature, Courtyar dan Royal Chulan.