Diterbitkan pada 25 November 2024, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Penulis Nasional (PENA) menganjurkan Malam Baca Puisi PENA “Puisi untuk Pyanhabib” dan majlis pelancaran buku Pyanhabib yang Kami Sayangi sebagai apresiasi dan penghormatan terhadap sasterawan dan penerima anugerah Tokoh Puisi Kuala Lumpur 2022, Allahyarham Pyanhabib Rahman.

Acara yang berlangsung pada Jumaat lalu turut dihadiri keluarga Allahyarham dan pelbagai pihak termasuk penyair, penulis, peminat sastera, serta tetamu kehormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim.

Malam Baca Puisi PENA “Puisi untuk Pyanhabib” menyaksikan para penyair menyampaikan puisi-puisi indah sebagai tanda penghormatan terhadap Allahyarham.

Melalui untaian kata-kata yang penuh makna, para hadirin dibawa kembali mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham buat dunia sastera tanah air.

Selain itu, majlis yang sama turut menyaksikan pelancaran buku Pyanhabib yang Kami Sayangi yang merupakan terbitan sulung Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani melalui projek Pelaksanaan Projek Penerbitan Bahan Bacaan Karya Asli Bertemakan Karya Kreatif dalam Bahasa Melayu oleh PENA (Belanjawan 2024).

Buku kompilasi ini merupakan hasil kolaborasi sebanyak 38 orang penyumbang yang menggarap pelbagai bentuk karya seperti esei, kenangan, puisi, ilustrasi, dan gambar-gambar yang menceritakan perjalanan hidup bersama-sama dengan Allahyarham Pyanhabib.

Antara kandungan buku ini termasuklah hantaran media sosial YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa hari Pyanhabib kembali ke rahmatullah; lukisan Pyanhabib oleh Datuk Lat; coretan kenangan oleh Datuk M. Nasir; puisi oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan kupasan karya puisi Pyanhabib oleh Faisal Tehrani.

Buku ini bukan sahaja menjadi sebuah rekod sejarah, malah menjadi tanda kasih sayang dan penghargaan kepada individu yang banyak memberikan inspirasi kepada masyarakat Malaysia khususnya generasi muda.

Adam Adli dalam ucapan perasmiannya berkongsi kenangan manis bersama-sama Allahyarham dan memuji Allahyarham sebagai seorang yang boleh dijadikan contoh dalam persahabatan. Katanya,

Antara perkara yang saya ingat mengenai Abang Pyan ini yang boleh dijadikan contoh, tak kiralah siapa dia, dia (Pyanhabib) berkawan dengan semua orang. Saya tak kenal ramai orang macam Abang Pyan – yang berkawan dengan ‘kutu’ sampailah ke Perdana Menteri.

Adam yang juga merupakan sahabat karib Allahyarham Pyanhabib semenjak menjadi aktivis mahasiswa, telah diberikan penghormatan untuk melancarkan buku tersebut.

PENA turut memberikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Pyanhabib hasil daripada royalti penerbitan buku Pyanhabib yang Kami Sayangi, yang dipersetujui semua penyumbang artikel dalam buku tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi