Diterbitkan pada 27 Januari 2026, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serendah – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran dan DBP Wilayah Tengah dengan kerjasama Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mengambil peluang menangani beban kos sara hidup golongan B40 dalam kluster pendidikan dengan mengadakan Program Inisiatif Rekayasa Pembangunan Bakat Penulisan MADANI Zon Tengah 2026.

Para pelajar B40 yang terlibat dalam Program Inisiatif Rekayasa Pembangunan Bakat Penulisan MADANI Zon Tengah.

Melalui inisiatif tersebut, DBP merangka program pembangunan bakat untuk membantu pelajar menjana pendapatan pasif melalui penulisan. Program yang berlangsung pada 23 hingga 25 Januari 2026 di Asrama Kasih, YBK, Serendah, Hulu Selangor ini secara tidak langsung dapat membantu dan memperkasakan bakat penulisan pelajar secara terancang dan berimpak tinggi, khususnya dalam penghasilan karya seperti puisi dan esei.

Dengan tema “Bakat Sastera, Jiwa Berbahasa”, program ini juga dilihat berkemampuan untuk melahirkan ramai pengkarya daripada golongan B40 yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam arus pembangunan negara.

Dalam program itu, para pelajar diperkenalkan dengan majalah terbitan DBP, iaitu majalah Dewan Siswa. Puan Siti Irni Yuslinda Mosman, editor majalah tersebut memberikan pendedahan tentang asas penulisan dalam majalah serta menerangkan ruangan majalah yang boleh ditulis oleh pelajar.

Tiga pengisian utama lain yang berlangsung serentak pula menumpukan pembangunan bakat pelajar dalam penulisan puisi dan esei serta pembinaan karakter yang dihadiri oleh 25 pelajar bagi setiap kelas. Pembinaan Bakat Penulisan Puisi dibimbing oleh Encik Mohd Lutfi Ishak, Pembinaan Bakat Penulisan Esei dibimbing oleh Puan Nurul Julia Alani Henry dan Pembinaan Karakter Melalui Sastera dibimbing oleh Puan Syahidatul Munirah Badrul Munir.

Setiap aktiviti yang dilakukan oleh pembimbing di dalam kelas masing-masing sepanjang tiga hari dua malam tersebut berjaya mengasah bakat pelajar dalam menghasilkan karya yang baik dan bermakna.

Dalam ucapannya semasa majlis perasmian penutupan program, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP menyifatkan bahawa program ini bukan sahaja mengajar teknik menulis malah membantu memberikan sokongan kepada pelajar untuk terus berkarya.

YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP ketika menyampaikan ucapan.

Majlis perasmian penutupan diserikan dengan persembahan lakonan oleh pelajar yang mengikuti kelas pembinaan karakter melalui sastera dan deklamasi sajak oleh pelajar yang mengikuti kelas penulisan puisi. Hadiah juga diberikan kepada pelajar yang berjaya menghasilkan puisi dan esei yang baik termasuklah pelajar yang menunjukkan bakat dalam persembahan lakonan.

Turut hadir dalam program ini ialah Ahli Lembaga YBK, Encik Zainal Mohd Jais, Pengetua Asrama Kasih, Puan Halimaton Saadiah Mohd Nawawi, Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry dan Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Puan Nurul Aina Borhan.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi