Diterbitkan pada 23 November 2025, 18:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini menganjurkan Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan 2025 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan pelibatan lebih daripada 1,000 orang kanak-kanak dari seluruh negara.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited melindungi hak kanak-kanak melalui pelbagai dasar, undang-undang dan inisiatif, termasuk yang digariskan dalam Akta Kanak-Kanak 2001, serta Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

“Antara fokus utama kerajaan termasuklah menangani peningkatan kes buli di sekolah, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, eksploitasi melalui media sosial, serta ancaman jenayah siber yang semakin membimbangkan,” ujarnya.

Sambutan tahun ini yang mengangkat tema “Hari Ini, Suaraku” mendapat kerjasama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sebagai penganjur bersama. Tema ini menekankan kepentingan memberikan ruang kepada kanak-kanak untuk menyuarakan pandangan, aspirasi dan peranan mereka dalam masyarakat.

Saudara Mohamad Amirul Asyraf bin Khairul Azahar, penerima Anugerah Pingat Hang Tuah 2025.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa Sambutan Hari Kanak-kanak dilaksanakan untuk menggalakkan komitmen masyarakat bersama-sama kerajaan dalam merancang dan melaksanakan program bagi pembangunan kanak-kanak.

“Di samping itu, diharapkan sambutan seumpama ini dapat mengeratkan hubungan antara generasi agar perasaan kasih sayang, serta hormat-menghormati dapat diperkukuh,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut berkongsi berita gembira bahawa program advokasi kanak-kanak kendalian JKM telah mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai “The Largest Child Protection Advocacy Programme” dengan penyertaan sebanyak 128,148 orang kanak-kanak.

“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen dan dedikasi KPWKM dalam memperkasakan agenda advokasi demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini,” tambah beliau.

Sebagai sebahagian daripada sambutan, majlis turut menyampaikan tujuh anugerah, termasuk Anugerah Pingat Hang Tuah 2025, iaitu pengiktirafan tahunan kepada kanak-kanak yang menunjukkan keberanian luar biasa dalam situasi kecemasan atau bencana. Penerima anugerah bagi tahun ini ialah Mohamad Amirul Asyraf bin Khairul Azahar.

Selain itu, Anugerah Gemilang dan Anugerah Khas disampaikan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang kanak-kanak dalam bidang akademik, sukan, seni dan kebudayaan, serta pencapaian luar biasa oleh kanak-kanak berkeperluan khas (OKU). Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan kanak-kanak turut menerima penghargaan.

Sambutan tahun ini juga diisi dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pameran kesedaran, permainan interaktif, sukan, aktiviti seni dan sesi pendidikan yang direka untuk membina keyakinan diri, kemahiran kepimpinan, serta kreativiti kanak-kanak. Aktiviti-aktiviti ini memberikan peluang kepada mereka merasai pengalaman bermakna yang menggalakkan interaksi sihat dan perkembangan sahsiah.

Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan 2025 melambangkan hasrat bersama untuk memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia didengari suaranya, dihargai potensinya dan dilindungi haknya selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun binti Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi