Diterbitkan pada 29 Oktober 2025, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Hipnie Sharbini

Kuching– Dunia penulisan kreatif di Sarawak terus subur dengan penganjuran Bengkel Terampil (Cerpen dan Puisi) 2025, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Program selama tiga hari yang berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober itu menghimpunkan seramai 20 orang penulis muda dari pelbagai daerah di seluruh negeri, menjadikannya wadah penting dalam usaha mencungkil dan memperkasakan bakat baharu di persada sastera tempatan.

Pembimbing puisi, iaitu Sanusi Din (tiga dari kiri) dan pembimbing cerpen, Ruhaini Matdarin (tiga dari kanan) bergambar bersama-bersama peserta. Turut kelihatan ialah Dr. Azizul Haji Ismail, Pengarah DBP Cawangan Sarawak (empat dari kiri) dan Puan Hajijah Mainol, Penolong Pengarah Unit Penerbitan, DBP Cawangan Sarawak (dua dari kanan).

Menurut Editor DBP Cawangan Sarawak, Puan Saidatul Faiqah Samasu, Bengkel Terampil yang mula diperkenalkan pada tahun 2021 telah terbukti menjadi platform efektif dalam melahirkan generasi penulis muda yang kini aktif berkarya di peringkat negeri dan kebangsaan. Terangnya,

Ramai penulis pemula yang lahir daripada ruangan Wadah Bahasa dan Sastera kini tampil dengan karya yang semakin matang dan berkualiti setelah mengikuti bengkel ini. Lebih membanggakan, sebahagian daripada mereka telah berjaya menempatkan diri di peringkat kebangsaan dan Nusantara.

Para peserta bengkel ini dipilih berdasarkan prestasi karya mereka yang pernah tersiar dalam ruangan terbitan DBP, khususnya Wadah Bahasa dan Sastera. Pemilihan ini mencerminkan keyakinan DBP terhadap potensi dan komitmen para penulis yang konsisten serta berkualiti dalam penghasilan karya.

Sepanjang bengkel, peserta mengikuti sesi intensif penulisan cerpen dan puisi yang dikendalikan oleh pembimbing sastera dan penulis prolifik tanah air, iaitu Sanusi Din dan Ruhaini Matdarin. Antara pengisian utama bengkel termasuklah teknik penceritaan berkesan, eksplorasi tema dan simbolik dalam puisi, serta sesi kritikan karya terbuka yang dijalankan dalam suasana profesional dan membina.

Bengkel turut menampilkan Sesi Alumni WBS bersama-sama Shield Sahran, penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Sarawak 2025.

Shield Sahran ketika berkongsi pengalamannya dalam dunia penulisan.

Sebelum itu, para peserta turut diberikan taklimat penerbitan karya oleh editor Majalah Dewan Sastera, Fadhli Al-Akiti dan editor Majalah Tunas Cipta, Sayuti Yusob.

Sementara itu, Dr. Azizul Haji Ismail, Pengarah DBP Cawangan Sarawak menyatakan bahawa penulis muda merupakan pelapis penting dalam dunia penulisan. Katanya lagi,

Melalui bengkel seperti ini, mereka bukan sahaja belajar menulis cerpen dan puisi, tetapi juga membina jati diri sebagai insan yang berfikir dan berjiwa halus.

Hadir sama dalam bengkel tersebut ialah Puan Hajijah Mainol, Penolong Pengarah Unit Penerbitan, DBP Cawangan Sarawak.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi