Diterbitkan pada 28 Oktober 2025, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Batu Pahat – Siapakah bakal juara Sayembara Pantun Teknologi Era Baharu (SUTERA) 2025?. Sayembara ini yang diadakan buat julung-julung kalinya dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Pelajar (PBP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Pertandingan ini dijalankan secara hibrid, iaitu secara dalam talian pada 25 dan 26 Oktober untuk peringkat saringan dan suku akhir, manakala peringkat separuh akhir dan akhir diadakan secara bersemuka pada 30 Oktober di UTHM Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

Paparan keputusan peringkat suku akhir yang akan menampilkan persaingan peringkat separuh akhir melibatkan pasukan Nilakandi UM, Atma Sujana UTP (A), Nayana Manih UIAM dan Niskala Renjana UTP (C) bagi merebut kejuaraan SUTERA 2025 pada 30 Oktober ini.

Sesuai dengan tema “Inovasi Teknologi Nadi Kelestarian Negara”, SUTERA 2025 menampilkan kembali corak pertandingan secara dalam talian setelah sekian lama ditiadakan selepas berakhirnya pendemik COVID-19 yang melanda negara.

Sayembara ini disertai oleh 14 pasukan pantun yang terdiri daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang (IPGKPP).

Seusai peringkat saringan satu hingga saringan empat dijalankan, sebanyak lapan pasukan melayakkan diri ke peringkat suku akhir, iaitu Nilakandi UM, Perunggu Gading UM, Atma Sujana UTP (A), Niskala Renjana UTP (C), Nayana Manih UIAM, Nadim Permana (UiTM Shah Alam), Sempana USM dan Kalam Katarsis IPGKPP.

Kemenangan pada peringkat suku akhir dinobatkan kepada pasukan Nilakandi UM, Atma Sujana UTP (A), Nayana Manih UIAM dan Niskala Renjana UTP (C). Keempat-empat pasukan ini bakal berentap pada peringkat separuh akhir secara bersemuka di Pentas Besar, Perpustakaan Tunku Tun Aminah bagi merebut kejuaraan SUTERA 2025 pada peringkat akhir yang akan diadakan di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM.

Orang ramai khususnya peminat pantun diseru untuk hadir ke UTHM bagi menonton perlawanan ini secara bersemuka atau menyaksikan siaran langsung Peringkat Akhir Sayembara Pantun Teknologi Era Baharu (SUTERA) 2025 menerusi Instagram penganjur, @hitsuthm untuk mengetahui bakal juara dan keputusan penuh SUTERA 2025.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi