Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dua buah buku Kembara Sains Adi: Uniknya Alam Haiwan dan Kembara Sains Adi: Cahaya di Mana-mana yang ditulis oleh Puan Zahanim Ahmad terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan bahan bacaan tambahan yang bermanfaat untuk kanak-kanak bukan setakat memenuhi keperluan topik Sains, tetapi menjadi bahan bacaan yang menyeronokkan apabila ditelaah oleh pembaca.
Puan Zahanim Ahmad merupakan salah seorang penulis yang cukup berjaya, apabila beliau telah ditawarkan biasiswa ke Jepun dalam bidang kejuruteraan komputer di Univerisiti Jepun dan kini sedang bertugas sebagai eksekutif bank di salah sebuah institusi perbankan negara. Bagi mengukuhkan pencapaiannya dalam bidang akademik beliau berjaya menyambung pengajian ke peringkat master di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan doktor falsafah (PHD) di Kanada.
Buku Kembara Sains Adi: Uniknya Alam Haiwan membawa kanak-kanak menyelami dunia Sains dengan mencerap keunikan setiap spesies melalui pembacaan yang menyeronokkan bersama watak Adi menerusi pengembaraan bersama-sama datuknya menjelajahi pelbagai habitat haiwan bemula dari hutan, lautan hingga padang pasir.
Manakala Kembara Sains Adi: Cahaya di Mana-mana memberi pengalaman kepada pembaca menerusi pengembaraan Adi mengenali sumber cahaya semula jadi dan buatan. Buku ini memperkenalkan konsep asas cahaya, warna, serta kepentingannya dalam kehidupan dengan cara yang mudah dan menyeronokkan.
Menurut Puan Zahanim Ahmad, buku ini mempamerkan gaya penceritaan yang mudah dan ilustrasi menarik, serta menggabungkan fakta Sains dengan pengembaraan yang menyeronokkan sambil menanam rasa ingin tahu dan minat terhadap fenomena cahaya di sekeliling.
“Pembaca diperkenalkan dengan fakta menarik tentang cara haiwan menyesuaikan diri dengan persekitaran dan kehebatan deria dan kebolehan luar biasa yang dimiliki haiwan. Dengan gaya bahasa yang mudah, ilustrasi yang ceria, dan pendekatan cerita yang menghiburkan,” ujarnya ketika ditemu bual oleh Puan Nurul Amira Abd Talib dalam segmen Bicara Karyawan.
Pendekatan yang diolah menerusi buku ini dapat mengajak kanak-kanak mengetahui jenis haiwan melalui tapak kaki, jenis kuku, ekor, dan tanduk dengan pedagogi terbeza, iaitu permainan teka-teki haiwan bersama-sama dengan ibu bapa mereka.
“Ibu bapa pula boleh membuat bayang-bayang dengan tangan mereka. Sangat comel dan menarik. Saya berharap anak-anak boleh membaca dan berinteraksi dengan orang di sekelilingnya atau ibu bapa mereka. Saya mahu buat buku comel, menarik dan santai inilah hasilnya,” kata beliau.
Secara tidak langsung pembaca boleh main peranan sebagai Adi kerana watak utama dalam kedua-dua buku ini berusia antara lima hingga sembilan tahun, iaitu dengan mengaitkan diri mereka sebagai Adi.
“Tajuk buku ini dipilih secara rambang, saya belajar topik Sains tahun satu, dua dan tiga. Contohnya dalam buku Uniknya Alam Haiwan diambil dalam topik tahun satu, dua, dan tiga untuk Cahaya di Mana-mana ada dalam tahun satu dan dua,” tambahnya lagi.