Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Di Bawah Langit Ihsan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sebuah novel sejarah oleh Puan Salina Ibrahim yang mengisahkan zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad di negeri Selangor pada abad ke -18 yang berhadapan dengan pelbagai konflik yang telah menggugat keamanan negeri dalam pemerintahan baginda, menerusi program Bicara Karyawan yang dikendalikan oleh moderator Puan Nurul Amira Talib.
Novel ini mengisahkan perjuangan orang tempatan yang menentang kedatangan pihak Inggeris di negeri Selangor yang ketika itu wujud pertelingkahan dalam kalangan ketua-ketua negeri sehingga memberi ruang dan peluang kepada orang Inggeris mengambil kesempatan untuk masuk campur tangan.
“Kononnya, tujuan mereka masuk ke negeri itu untuk mengamankan, tetapi wujud konspirasi kepentingan orang Inggeris. Walau bagaimanapun kedatangan orang Inggeris ke negeri Selangor berlaku secara aman dan tidak ada pergaduhan antara pihak Istana dengan Inggeris ketika itu,” terang Puan Salina Ibrahim.
Puan Salina Ibrahim menerangkan bahawa pada ketika itu, Sultan Selangor Sultan Abdul Samad telah melantik menantunya, iaitu Tengku Dhiauddin Ibni Almarhum Sultan Zainul Rashid atau lebih dikenali sebagai Tengku Kudin yang berasal dari negeri Kedah.
Sebelum itu, Tengku Kudin berkahwin dengan puteri Sultan Abdul Samad, Tengku Arfah. Beliau mempunyai pengaruh dalam kalangan orang Inggeris dan meminta tolong dengan Inggeris bagi menangani kemelut negeri. Kedatangan Tengku Kudin amat mencurigakan dalam kalangan kerabat Selangor kerana dia merupakan orang luar. Akhirnya Inggeris berjaya masuk ke negeri Selangor.
Novel ini menghidupkan semula sejarah Selangor pada ketika itu melalui naratif konflik dan perjuangan demi keamanan negeri. Menurut Puan Salina novel ini merupakan kisah benar tetapi watak dan latarnya diolah dalam bentuk karya kreatif.
“Saya hendak bawa pembaca merasai situasi pada zaman itu. Rasa resah, gelisah, dan sakit hati akan turut dirasai oleh pembaca dengan keadaan politik ketika itu. Oleh itu, ambillah pengajaran menerusi novel ini, iaitu jika tidak bersatu padu akan menyebabkan ketidakfahaman berlaku dan hal itu akan membawa kepada pecah belah,” katanya mengakhiri perbualan dalam Bicara Karyawan.