Diterbitkan pada 21 Ogos 2025, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Muhammad Lutfi Mohd Yusreem, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sik, Kedah yang mewakili negeri Kedah, menempa kegemilangan dan sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai johan sulung dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Malaysia (SDPKSM) Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bertempat di Hotel Grand Swiss-Belhotel pada 15 Ogos lepas.

Beliau yang mendeklamasikan puisi berjudul “Matahari di Atas Bahu” karya Zaifulnizam Wagiran dengan iringan alunan muzik instrumental bawah bimbingan gurunya, Puan Rahiza Izaja Anasrullah, berjaya membawa pulang Piala Pusingan Presiden GAPENA, wang tunai RM2,000.00, piala, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Muhammad Lutfi Mohd Yusreem (tiga dari kiri) johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Malaysia (SDPKSM) 2025.

Sementara itu, Putri Kaleisha Qistina Kamaruddin, wakil negeri Sabah yang mendeklamasikan puisi berjudul “Rukun Yang Kita Yakini” nukilan Abdul Hadi Yusoff menyandang naib johan dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000.00, piala, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Hadiah tempat ketiga pula dimenangi oleh wakil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, iaitu Qaseh Umairah Maswesi Ahmad yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Pelangi di Hamparan Hijau” nukilan Barupawati Utamaju Baharum. Beliau menerima wang tunai RM700.00, piala, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Selain itu, hadiah sagu hati disandang oleh Muhammad Aqil Elhafiz Mohd Izwan Hafiz, wakil negeri Perak yang mendeklamasikan sajak berjudul “Gelombang Masa” karya Saadah Haji Jaafar dan Nuralysha Afiqah Mohd Yusof, wakil negeri Pahang dengan sajak berjudul “Bahtera Bangsa Mengemudi Peradaban” nukilan Zaidin Abadi. Masing-masing membawa pulang hadiah RM500.00 dan RM400.00, sijil penghargaan serta hadiah iringan.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Rahmad Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Borhan, Presiden GAPENA dan Encik Ahmad Zauawi Che Cob, Pengarah SDPKSM Peringkat Kebangsaan 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi