Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Alya Afiqah Adnan
Nilai – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkasa potensi pelajar sekolah dalam bidang sastera melalui penganjuran Wacana Interaktif PenulisanPuisi, anjuran Kelab Penerbitan Kreatif (KPK) dan Pusat Kebudayaan USIM, dengan kerjasama strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 Mei 2025.
Program ini merupakan antara pengisian istimewa dalam acara Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN) yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat sastera serta memperkukuh kreativiti generasi muda melalui medium puisi.
Wacana yang berlangsung di Galeri Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM menghimpunkan sebanyak 44 orang pelajar sekolah menengah sekitar Negeri Sembilan, dengan pengisian yang dirangka khusus untuk memperkenalkan peserta kepada dunia penulisan puisi secara menyeluruh dan sistematik.
Mengetuai wacana ini ialah Intan Marhayu Rahman, Johan Sayembara Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 2004 (SDPK) dan figura tersohor dalam dunia seni sastera. Antara fokus utama bengkel ini adalah pengenalan puisi, teknik asas penulisan dan penggunaan gaya bahasa puitis yang mampu memberikan impak mendalam kepada pembaca dan pendengar.
“Kami ingin mencungkil dan memperkasa potensi pelajar dalam bidang penulisan kreatif, khususnya puisi yang mampu menjadi wadah ekspresi emosi, nilai dan pemikiran generasi muda,” ujar Pengarah Program SERUMPUN, Aisya Nazirah Yunus.
Tambahnya, bengkel ini turut menekankan aspek praktikal melalui aktiviti penulisan puisi secara berkumpulan yang kemudiannya dipersembahkan dalam sesi pembacaan puisi terbuka, sekali gus melatih keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi pelajar.
Seorang daripada peserta, Rais Hazeem menyifatkan pengalaman menyertai bengkel ini sangat bermakna dan membuka mata tentang keindahan puisi.
“Jika di kolej, mungkin saya kurang pendedahan tentang penulisan ini kerana tiada dalam silibus. Tapi hari ini saya belajar banyak perkara baharu. Saya harap lebih banyak bengkel seperti ini diadakan lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif Pusat Kebudayaan USIM, Rozihani Mohamad berkata, program seperti ini bertujuan untuk melahirkan pelapis penulis muda yang berbakat dan memahami nilai sastera tanah air.
“Kami komited untuk meneruskan penganjuran program sebegini dengan modul yang lebih sistematik, bukan hanya untuk pelajar, tetapi juga guru sebagai pembimbing,” ujarnya.
Selain mencungkil bakat baharu, wacana ini juga berperanan sebagai platform merakyatkan seni puisi serta memperkukuh jaringan sastera antara pelajar universiti dengan sekolah menengah, selaras dengan hasrat melahirkan generasi celik sastera dan berfikiran kritis.
Program SERUMPUN yang berlangsung dari 27 hingga 31 Mei 2025, turut diserikan dengan pelbagai pengisian lain antaranya termasuklah, Sayembara Penulisan Puisi Jawi (SePUJA), Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA), Bicarawara Sasterawan Negara bersama Karyawan Muda, Wacana Interaktif Pemantapan Gaya Deklamator dan Teknik Penjurian
Dengan sokongan rakan strategik seperti DBP, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Pusat Wakaf dan Zakat USIM dan Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM), penganjuran ini diyakini dapat memupuk minat dan menghargai seni sastera tanah air dalam kalangan generasi muda.