Diterbitkan pada 13 Jun 2025, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Alya Afiqah Adnan

Nilai – “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas,” begitulah pepatah yang menggambarkan usaha berterusan memartabatkan tulisan Jawi yang semakin terpinggir dek arus modenisasi.

Dalam usaha mengangkat kembali martabat aksara warisan ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Kelab Penerbitan Kreatif dan Pusat Kebudayaan telah menganjurkan Sayembara Penulisan Puisi Jawi (SePUJA) 2025, khusus untuk pelajar sekolah menengah.

Pertandingan julung-julung kali ini menerima sambutan menggalakkan dengan 45 penyertaan puisi tulisan Jawi diterima secara dalam talian sejak 25 April hingga 21 Mei lalu. Sesi penjurian telah diadakan pada 23 Mei 2025 bertempat di Pusat Kebudayaan USIM.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Prof. Madya Dr. Nor Azlin Hamidon yang juga juri pertandingan, SePUJA bukan sekadar medan pengkaryaan sastera, bahkan platform memperkukuh kedudukan tulisan Jawi yang semakin terhakis dalam masyarakat.

“Tahap penguasaan bahasa dan pengolahan karya para peserta mencerminkan semangat tinggi generasi muda terhadap bahasa ibunda serta komitmen mereka dalam memelihara aksara warisan ini,” ujarnya.

Beliau turut dibantu oleh dua panel juri berpengalaman, Muhamad Solehan Fahmie Zulkapli dari Sekolah Rendah Agama Sri Al-Amin dan Ahmad Subhi Suhaimi, pensyarah Universiti Islam Selangor merangkap alumni Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.

Penyertaan yang memberangsangkan ini menjadi bukti bahawa tulisan Jawi masih berakar kuat dalam kalangan pelajar sekolah. Malah, terdapat cadangan agar tulisan Jawi dijadikan subjek wajib atau diperkenalkan semula dalam peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi memastikan kesinambungannya tidak tergugat oleh zaman.

Keputusan SePUJA 2025 menyaksikan:

  • Johan: Wan Muhammad Adam Wan Khairul Azli (SMKA Bestari)
  • Naib Johan: Siti Noralia Abdullah (SMK Dato’ Undang Abdul Manap)
  • Tempat Ketiga: Mohamad Amir Adeeb Amir Sabri (SMKA Tun Juhar, Sandakan)

Yang berikut merupakan senarai penerima hadiah sagu hati:

  • Muhammad Ammar Fauzan Mohd Fauzi
  • Athirah Najwa Gazairi
  • Muhammad Faqif Hazim Md Nasir
  • Ahmad Syahmi Zulkarnain
  • Muhammad Syahkil Emran Mohd Irham

SePUJA merupakan antara pengisian utama dalam program Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN) yang berlangsung dari 27 hingga 31 Mei. Program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti Wacana Interaktif Penulisan Puisi, Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA), Bicarawara Sasterawan Negara bersama-sama Karyawan Muda serta Wacana Interaktif Pemantapan Gaya Deklamator dan Teknik Penjurian.

SERUMPUN direalisasikan dengan kerjasama strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Pusat Wakaf dan Zakat USIM serta Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).

Penganjuran SePUJA diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada kesinambungan usaha pengukuhan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi