Diterbitkan pada 13 Jun 2025, 10:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Sofea Najihah Zulhelmy

Segamat– Sebanyak 23 pelajar Diploma Bahasa Inggeris Komunikasi Profesional, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat telah melaksanakan aktiviti gerai jualan produk komuniti autisme, selaras dengan pelaksanaan inisiatif Service Learning Malaysia, University for Society (SULAM) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.

Program yang berlangsung dari 12 hingga 22 Mei lalu itu bertujuan untuk membantu memasarkan produk seperti biskut dan gelang tangan yang dihasilkan oleh golongan autisme di bawah projek sosial Autism Cafe Project (ACP).

SULAM merupakan pendekatan pembelajaran berasaskan perkhidmatan komuniti yang diperkenalkan pada tahun 2016. Program ini memberikan peluang kepada pelajar untuk memanfaatkan ilmu, kemahiran dan kompetensi dalam bidang masing-masing bagi menyelesaikan isu atau cabaran masyarakat secara inklusif.

Menurut pengasas ACP, Mohd Adli Yahya, kanak-kanak dan remaja autisme memiliki keupayaan untuk bekerja dan menerima arahan, namun berhadapan kekangan dalam aspek pemikiran strategik, seperti membina idea pemasaran.

“Jika ada anak muda sebaya mereka yang boleh bantu memasarkan produk yang dihasilkan, itu sangat bermakna. Mereka mampu memasak dan menghasilkan produk, tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk memasarkan sendiri,” jelasnya.

Sofea Najihah, seorang daripada pelajar yang terlibat berkata bahawa program ini menjadi peluang untuk mereka mengaplikasikan ilmu pengajian secara praktikal.

“Kami menggunakan pengetahuan dalam komunikasi dan pemasaran yang dipelajari di bilik kuliah untuk membantu memperluas capaian pasaran produk ACP, khususnya kepada warga kampus UiTM Segamat,” katanya.

Tambahnya lagi, penyertaan dalam aktiviti ini turut membuka ruang kepada para pelajar untuk menyebarkan kesedaran tentang golongan autisme kepada rakan-rakan, keluarga dan komuniti yang lebih luas.

“Kami yakin, pengalaman ini akan menjadi nilai tambah apabila kami memasuki alam pekerjaan kelak, terutamanya dalam menyumbang kepada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat,” tambahnya.

Meskipun inisiatif ini dijalankan sebagai sebahagian daripada keperluan kursus, pelaksanaannya berupaya membentuk pelajar menjadi modal insan yang berempati dan berdaya saing. Inisiatif ini juga sejajar dengan matlamat utama SULAM dalam membangunkan sahsiah, kemahiran sivik serta semangat kewarganegaraan di samping meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui perkongsian ilmu dan sumbangan bakti mahasiswa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi