Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 12 Jun 2025, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja yang memasuki penganjurannya kali ke-14 pada tahun ini terus menjadi medan wacana signifikan dalam usaha memugar semula kesusasteraan bagi generasi muda dengan pendekatan terkini demi mengembalikan minat serta keyakinan mereka terhadap bidang tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari, penganjuran seminar tersebut, khususnya yang berkaitan dengan buku kanak-kanak sangat bertepatan dengan keperluan semasa dan wajar diperkasakan agar dapat membuka ruang kepada generasi muda untuk mendalami karya sastera bermutu.

“Ketika ini, masyarakat semakin sukar membaca teks konvensional dan kita ‘diserang serta diganggu’ oleh pelbagai bentuk teks digital, maka cabaran bagi kita untuk mengembalikan keupayaan pelajar membaca karya sastera secara luhur adalah amat besar,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmiannya di Auditorium Za’ba, di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.

“Lihatlah anak-anak kita kini, mereka tidak lagi bersosial dengan cara yang sepatutnya, sebaliknya mereka lebih terasuh oleh media sosial yang berada di hadapan mereka,” tambahnya lagi.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

Mengulas tentang realiti semasa yang berlaku, beliau menegaskan bahawa teknologi pada hari ini bukan sahaja berupaya mengubah penampilan fizikal seseorang, malah mempengaruhi cara fikir masyarakat.

“Jika tiada usaha gigih daripada semua pihak, khususnya tenaga akademik di universiti dan perancangan daripada pihak kami (DBP) selaku badan yang bertanggungjawab mengembangkan bahasa dan sastera, saya khuatir masa depan bahasa dan sastera kita akan terus terpinggir akibat ‘landaan’ teknologi,” ujarnya.

Ujar beliau, pihak DBP sentiasa bersedia memberikan sokongan terbaik kepada mana-mana pihak yang komited bekerjasama dalam usaha meletakkan bahasa dan sastera di persadanya.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada FBMK UPM atas inisiatif yang berterusan memperkasakan bahasa kebangsaan dan memberikan kesedaran sastera dalam jiwa pelajar.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FBMK UPM, YBrs. Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz dalam ucapan alu-aluannya yang mewakili Dekan FBKM berkata, pelibatan semua pihak dalam seminar tersebut menyerlahkan semangat kolaboratif dalam memperkukuh bidang sastera kanak-kanak, yang merupakan medium penting dalam pembinaan jati diri, nilai dan imaginasi anak bangsa.

“Sastera kanak-kanak bukanlah sekadar hiburan, tetapi sebagai instrumen pendidikan dan pemugar warisan,” katanya.

Jelas Dr. Adi, seminar itu bukan sahaja membuka ruang kepada penemuan baharu dan penilaian semula terhadap karya sastera kanak-kanak, bahkan menyemai minat dalam kalangan generasi muda untuk menjadi pencipta dan pemikir sastera yang berwibawa.

Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FBMK UPM, YBrs. Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz yang mewakili Dekan FBKM ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Pada masa yang sama, turut diadakan acara pelancaran 12 judul buku yang terdiri daripada pelbagai penerbit, iaitu DBP, DBP Brunei, E Media Multimedia Group, Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Rimbunan Islamik Media yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan.

Antara judul buku terbitan DBP yang dilancarkan dalam acara tersebut termasuklah Tatarias Islam dalam Karya Sastera Melayu, Teori dan Kritikan Sastera: Penilaian dan Wacana, Esei dan Kritikan dalam Novel Remaja, Kisah Sukun dan Kiran, Demak yang Bertuah, Asal Usul Simunjan dan Pulau Ular.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan (dua dari kanan) ketika gimik perasmian pelancaran buku dalam Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja Ke-14 dengan disaksikan oleh tetamu kenamaan yang lain.

Seminar anjuran DBP dengan kerjasama FBMK, UPM itu diserikan dengan pelbagai kegiatan seperti forum ilmiah yang bertajuk “Sastera Kanak-kanak; Komersial tetapi Sekunder”, pertandingan dan pameran poster serta pembentangan kertas kerja.

Sesi forum yang bertajuk “Sastera Kanak-kanak; Komersial tetapi Sekunder” yang turut berlangsung dalam Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja Ke-14.

Yang turut hadir  dalam majlis perasmian tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan; Pensyarah Kanan FBMK UPM, YBhg. Profesor Madya Datin Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi; Ketua Jabatan Bahasa Melayu, FBMK UPM, YBrs. Dr. Fazilah Husin; Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, YBrs. Encik Mohd Azam Juhari; Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Editor, karyawan DBP, para pensyarah UPM serta pelajar.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi