Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Sastera kanak-kanak perlu diberikan pengiktirafan sebagai genre yang serius dan mempunyai nilai komersial, demikian antara intipati utama yang diketengahkan dalam forum bertajuk “Sastera Kanak-kanak: Komersial Tetapi Sekunder”, yang berlangsung pagi tadi di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Forum ini merupakan sebahagian daripada Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja Ke-14, anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (BPSKR) dan FBMK UPM.
Sesi forum yang dipengerusikan oleh Ishak Hamzah dan Ismail Adnan itu menghimpunkan tokoh-tokoh penting dalam dunia penulisan dan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja awal, termasuk Timbalan Naib Canselor Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri Universiti Selangor (UNISEL) merangkap Timbalan Presiden Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), Profesor Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak; Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara (Persalina), Ninot Aziz, Ketua Jabatan Bahasa Melayu FBMK UPM, Profesor Madya Datin Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi serta penulis terkenal novel remaja, Ain Maisarah Daliman.
Dalam ucapannya, Profesor Dr. Md. Sidin menekankan kepentingan sastera kanak-kanak dalam menyokong perkembangan kognitif dan emosi kanak-kanak terutama pada peringkat awal, iaitu dari lahir hingga enam tahun.
“Buku sastera kanak-kanak bukan sekadar hiburan, tetapi mesti mengandungi nilai pendidikan yang disampaikan melalui ilustrasi, watak dan penceritaan yang hidup,” katanya.

Beliau turut menyatakan keperluan untuk menyeimbangkan nilai komersial dengan mutu sastera. “Ada buku menang anugerah, tapi tidak laku di pasaran. Sebaliknya, buku komersial kadang-kadang mengorbankan nilai literari, estetik dan stailistik untuk menjimatkan kos. Kita perlu cari titik tengah,” tambahnya sambil menekankan pentingnya melibatkan tenaga profesional seperti editor, sub-editor, penyemak pruf, pelukis ilustrasi dan editor fotografi bagi memastikan kualiti buku terjamin.
Sementara itu, Ninot Aziz, berkongsi pengalaman mengantarabangsakan cerita rakyat Melayu melalui penulisan adaptasi bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.

“Cerita Walinong Sari yang diadaptasi menjadi animasi pendek oleh pengkarya tempatan berbilang bangsa berjaya menembusi festival filem antarabangsa seperti Festival Filem Pendek Antarabangsa New York, Festival Filem Sea Of Art di Norway, Festival Filem Antarabangsa Los Angeles dan Anugerah Filem Oniros New York,” ujarnya.
“Kanak-kanak adalah pembaca yang mempunyai selera kompleks. Kita sebagai penulis, penyelidik dan penerbit perlu hidangkan cerita yang dekat dengan mereka, tetapi dengan sentuhan budaya kita sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sastera kanak-kanak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada industri seni kreatif nasional. “Sastera kanak-kanak tidak lagi terbatas kepada bentuk teks semata-mata. Untuk melestarikan adat dan budaya leluhur, kita perlu fikirkan dan mengarkibkan adaptasi dalam bentuk video, animasi dan media baharu,” tambahnya.

Dr. Nik Rafidah pula berkongsi hasil kajian lapangan yang dijalankan terhadap kanak-kanak di seluruh Malaysia dari 2008 hingga 2010, merangkumi kawasan bandar, luar bandar dan masyarakat Orang Asli.
“Kanak-kanak suka buku yang visualnya pelbagai dan ceritanya berakar dalam budaya tempatan. Namun begitu, terdapat kesenjangan akses dan penerimaan bahan bacaan yang perlu ditangani secara sistematik,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pemilihan laras bahasa dan pendekatan ilustratif yang sesuai bagi menarik minat semua golongan kanak-kanak tanpa mengira latar geografi atau demografi.
Turut berkongsi pandangan, Ain Maisarah menekankan bahawa sastera kanak-kanak mesti bertahan dalam ‘ekosistem’ sastera, bukan sekadar laris di pasaran semusim.

“Ibu bapa dan anak-anak ada kecenderungan berbeza. Anak-anak mahukan cerita comel atau seram, ibu bapa mahukan nilai. Penulis mesti bijak menyusun strategi pemasaran agar buku memenuhi keperluan kedua-duanya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pelbagai pendekatan untuk menjadikan buku sastera kanak-kanak lebih menarik dan mampan, termasuk pelancaran buku yang bersifat strategik, penggunaan media sosial dan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pustakawan sekolah sebagai “pempengaruh cilik” yang mempromosikan judul-judul buku baharu di sekolah.
Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Dekan (Akademik dan Pelajar) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, YBrs. Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz; Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (BPSKR) DBP, YBrs. Encik Mohd Azam Juhari serta delegasi dari Universitas Islam Malang, Universiti Malaya dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam.