Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Penulis muda kelahiran Sandakan, Sabah yang kini menetap di Kedah, Haniff Yusoff tampil dengan karya terbaharu beliau, sebuah kumpulan cerpen berjudul Rumah di dalam Pasu Bunga, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Buku ini diterbitkan oleh Gerakbudaya Enterprise dan merupakan naskhah keempat dalam siri kumpulan cerpen beliau selepas Zombi Rumi (Legasi Oakheart, 2015), Kakak Saya Hidup Semula (Legasi Oakheart, 2019) dan Nadim Hidup Semula (Projek Buku PENA–Malaysia Madani, 2025).
Kumpulan Cerpen Rumah di dalam Pasu Bunga menghimpunkan 12 buah cerpen yang menggabungkan unsur realiti dan fantasi, dengan gaya penceritaan kreatif dan segar. Antara cerpen yang terkandung ialah “Menjadi Fetus Semula”, “Alegori Cempedak Goreng” dan “Sahabat Saya Seorang Biawak”. Cerpen-cerpen ini menyentuh pelbagai tema, namun berfokus kepada pencarian jati diri dan kedalaman pengalaman manusiawi, menjadikan karya ini sebagai satu suara baharu yang menonjol dalam landskap kesusasteraan kontemporari.
Keistimewaan naskhah ini turut diserlahkan dengan sentuhan ilustrasi oleh Ridzuan Harun, atau lebih dikenali sebagai Riharu, yang menzahirkan cerpen-cerpen terpilih dalam bentuk visual yang mempesonakan. Menurut Riharu, imej rumah kecil di dalam pasu bunga yang menghiasi muka hadapan buku ini melambangkan kehidupan yang tertindas, namun penuh daya tahan sebagai mewakili watak utama dan keluarganya yang tersisih daripada arus masyarakat, tetapi tetap teguh mempertahankan jati diri mereka.

Satu sesi ramah mesra bersama-sama penulis dan ilustrator telah diadakan pada 31 Mei 2025, pukul 5 petang di reruai Gerakbudaya, yang telah mempertemukan Haniff, Riharu serta para pembaca dalam suasana penuh apresiasi terhadap karya seni dan sastera.