Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Analia Nadine

Muar – Pada usia awal 20-an, Nur Atiqah Rahim telah melalui detik hitam dalam hidupnya apabila mengalami trauma mendalam sewaktu menjalani ujian memandu. Insiden tersebut menjadi titik tolak kepada perubahan drastik dalam dirinya yang dahulunya ceria dan penuh semangat.
Lebih memeritkan, kehilangan insan tersayang yang selama ini menjadi tulang belakang kehidupannya menambah luka di hati, sehingga beliau mengasingkan diri selama hampir enam bulan. Sepanjang tempoh itu, Atiqah mengalami kemurungan teruk, hilang selera makan, dan berhadapan dengan keinginan untuk menamatkan hidup.
“Saya rasa seperti mayat hidup. Jasad saya ada di dunia tetapi jiwa saya sudah lama mati. Saya hilang harapan dan tidak berminat untuk lakukan apa-apa kecuali mengurung diri dalam bilik,” luah Atiqah.
“Orang sering memperlekehkan depresi. Ada yang kata ia tidak wujud, kononnya kerana iman saya lemah atau gangguan syaitan. Tetapi hanya mereka yang pernah melaluinya faham betapa sakitnya derita itu.”
Namun begitu, menjelang penghujung tahun 2021, Atiqah menemui sinar baharu dalam hidupnya melalui penulisan. Bermula dengan menulis diari dan cerpen di pelantar Wattpad, beliau kemudian beralih kepada penulisan cerpen yang menggambarkan kehidupan yang diimpikannya menerusi aplikasi Cereka.
Hasilnya, Atiqah berjaya menghasilkan novel sulungnya yang diinspirasikan sebahagiannya daripada kisah hidupnya sendiri.
“Menulis adalah terapi mental dan emosi saya. Penulisan membantu saya mengeluarkan rasa trauma yang selama ini terpendam. Dunia penulisan kini menjadi pentas impian saya. Walaupun tiada siapa sudi mendengar, sekurang-kurangnya helaian kertas sentiasa menerima luahan saya,” katanya.
Sehingga kini, Atiqah telah menghasilkan lebih 10 karya antaranya termasuklah cerpen dan novel. Beliau berharap kisahnya mampu memberikan inspirasi kepada individu lain yang turut berhadapan dengan cabaran kesihatan mental.
“Saya ingin berkongsi bahawa walaupun kita berada dalam kegelapan, masih ada cahaya di hujung terowong. Cari sesuatu yang memulihkan, bukan yang melukakan. Penulisan adalah ‘ubat’ saya untuk sembuh dan menemui semula harapan.”
Baru-baru ini, Atiqah telah melangkah keluar dari zon selesanya dengan menghadiri sesi temu mesra bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di PWTC, bagi pelancaran novel sulungnya His Dolce: Rose’s terbitan Mia Azwari Publication. Kehadiran beliau ke acara itu menjadi momen bermakna setelah sekian lama bergelut dengan keresahan sosial.
“Saya bersyukur dapat bertemu pembaca dan rakan penulis dalam suasana yang penuh sokongan dan kasih sayang. Ini menguatkan semangat saya untuk terus berkarya.”
Sebagai penulis baharu, Atiqah kini aktif berkongsi karya serta kisah peribadinya di laman media sosial dengan harapan dapat memberikan semangat kepada mereka yang turut berjuang dalam senyap.
“Buat mereka yang sedang berjuang, bukan semua orang nampak perjuanganmu, tetapi Tuhan tahu. Kamu bukan beban, kamu sedang belajar untuk sembuh. Tidak perlu tunjuk kuat sepanjang masa, cukuplah dengan tidak berputus asa.”
Atiqah berhasrat untuk terus menghasilkan karya-karya yang memberikan inspirasi dan sokongan kepada masyarakat, khususnya mereka yang bergelut dengan kesihatan mental.
Kisahnya membuktikan bahawa dengan sokongan, ketabahan dan medium yang tepat, seseorang itu mampu bangkit semula daripada kegelapan dan menemui makna kehidupan.