Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Aimi Fazlah Mohamed Ramli
Kuala Lumpur – Beberapa hari menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL25), suasana media sosial para penerbit tanah air dilihat telah mula “panas” dengan pelbagai paparan promosi buku baharu. Menariknya, pesta buku pada kali ini memperlihatkan ledakan karya bergenre seram, yang kini dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan pembaca Malaysia.
Fenomena ini mencetuskan persoalan, adakah selera pembaca telah berubah? Walaupun genre cinta dan romantis masih menguasai pasaran, bagaimanapun novel seram mula menunjukkan taringnya.
Sebagai contoh, penerbit PTS menerusi label Siri Puaka Sekolah dan komik Aku, Kau dan Hantu terbitan Komik M telah menguasai carta jualan sepanjang tahun 2024. Ini menandakan penerimaan pembaca terhadap genre seram semakin meningkat, sekali gus mencorakkan arah baharu dalam landskap penerbitan fiksyen tempatan.
Bukan hanya golongan dewasa, pembaca praremaja turut diberikan perhatian. Karangkraf tampil menerusi jenama Kids Karangkraf dengan tiga buah novel seram khas untuk kanak-kanak, iaitu Penunggu Rumah Usang, Hantu Dewi Laut dan Hantu Busut Jantan, hasil karya penulis Nurul Syahida, yang turut dikenali menerusi novel Sekolah Banyak Penunggu.
Dalam kalangan penulis prolifik genre seram pula, nama-nama seperti Maria Kajiwa, Khairul Nizam Khairani, Saidee Nor Azam, Ilya Abdullah dan Anuar Darwisy terus aktif menghasilkan karya-karya baharu setiap tahun, menjadikan genre ini hidup dan konsisten berkembang.
Perkembangan positif ini menunjukkan pembaca semakin terbuka untuk meneroka pelbagai genre seperti thriller, misteri, fantasi dan fiksyen sains. Peranan media sosial serta keaktifan penulis dalam mempromosikan karya turut memainkan peranan besar dalam memperkenalkan genre selain cinta.
PBAKL25 yang bakal berlangsung selama 10 hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) memberikan peluang kepada para pengunjung untuk mengenali sendiri, membelek dan memilih novel-novel seram yang kini sedang hangat diperkatakan dalam media sosial. Antara penerbit yang giat menampilkan variasi genre termasuklah Prolog Media, Lawa Lingo, Manes WordWorks dan Iman Publication.
Gelombang ini bukan sahaja mewarnai industri penerbitan tempatan, malah membuktikan bahawa kecenderungan pembaca kini semakin pelbagai dan matang dalam memilih bahan bacaan yang bukan sekadar menghibur, tetapi juga mengandungi unsur mendidik dan pemikiran kritis.