Diterbitkan pada 1 Jun 2025, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Kemeriahan reruai Flawa Bouquet dengan keharian pengunjung yang rata-rata merupakan pembaca muda.

Kuala Lumpur – Reruai penerbit baharu, Lawa Lingo, berjaya mencuri perhatian pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL25) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025, menerusi tema unik dan berwarna-warni, Flawa Bouquet”.

Menampilkan konsep taman bunga yang estetik dan sarat dengan simbolik, setiap jenis bunga yang dipamerkan membawa maksud tersendiri mengikut genre buku. Misalnya, orkid mewakili genre romantik, sundal malam dan dahlia melambangkan seram serta seram ngeri, manakala teratai melambangkan genre distopia. Pendekatan kreatif ini bukan sahaja memikat pandangan mata, malah memberikan identiti segar kepada Lawa Lingo dalam memperkenalkan karya-karya baharu kepada pembaca.

Membawa slogan “Hidden Gems for You”, Lawa Lingo bukan sekadar tampil sebagai penerbit, tetapi juga sebagai pelantar yang meraikan suara baharu dalam dunia penulisan. Antara penulis muda tempatan yang diketengahkan termasuklah Ilana, heartsara dan Rahim Ramli, bersama-sama beberapa nama lain yang masih “hijau”, namun memiliki bakat yang menjanjikan.

Menurut penerbit Lawa Lingo, Ayumi Syafiqah,

Kami percaya setiap orang mempunyai cerita unik untuk dikongsi. Di Lawa Lingo, kami menyediakan ruang bagi penulis baharu untuk mencipta langkah pertama mereka dengan yakin, sambil dibimbing dan diraikan.

Bagi mendekatkan lagi penulis dengan pembaca, pelbagai aktiviti interaktif turut dianjurkan sepanjang PBAKL25, antaranya termasuklah sesi ramah mesra bersama-sama penulis serta slot “Spin the Wheels!” yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk menyampaikan harapan dan idea mereka kepada pihak penerbitan secara santai, namun bermakna.

Selain novel, Lawa Lingo juga turut memperluaskan genre terbitannya melalui dua buah antologi cerpen. Antologi pertama, Meet Cute Romance, menghimpunkan sebanyak 13 karya daripada penulis seperti Deian Dyan, Izz Khair, Zar Zatie, Liya Fatiya, Tihaaris, Aatin Fatin, Buku Kecik, Naiyyi, Dhea, Hironuwi, Asyah Teo, Kaymi dan Nadra, yang menampilkan pelbagai kisah romantik yang ringan dan menyentuh hati. Sementara itu, Airport Meet Cute, yang diterbitkan pada awal tahun ini, menghimpunkan sebanyak 10 orang penulis dengan tema pertemuan manis di lapangan terbang, satu variasi segar dalam dunia cerpen tempatan.

Kehadiran Lawa Lingo di PBAKL25 bukan sekadar menambah warna pada pesta buku tahunan ini, tetapi turut menjadi simbol kebangkitan suara baharu dalam industri perbukuan. Usaha mereka memperkenalkan bakat baharu dengan pendekatan kreatif membuktikan bahawa dunia penulisan tempatan masih kaya dengan potensi yang menanti untuk digilap.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi