Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur − Program “Bual Santai Penulis Muda: Lembar Bacaan Kujadikan Taman Perasaan” merupakan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyemarakkan bahasa, kesusasteraan dan penerbitan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Editor majalah Dewan Sastera, Encik Muhammad Fadhli al-Akiti bertindak sebagai moderator manakala ahli panel terdiri daripada penulis muda yang sememangnya telah menempa nama dalam dunia penulisan tanah air, iaitu Abdullah Hussaini, Nur Adilla, Qurratul ‘Ain dan Jaymani Sevanathan.
Dalam bual santai tersebut, kesemua ahli panel beranggapan bahawa bahan bacaan, pengalaman peribadi dan peranan keluarga memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan diri sebagai penulis.
Peranan keluarga semasa kecil memberikan inspirasi sekali gus membentuk keperibadian diri seseorang penulis untuk membina “taman perasaan” (menghasilkan karya).


Dalam program tersebut, Abdullah Hussaini berkata:
“Saya berasal dari Jerantut, Pahang dan kawasan perumahan saya dikelilingi pokok dan hutan yang tebal. Nenek saya selalu menceritakan kisah kutu gergasi. Apabila menjejak ke alam dewasa, sesetengah cerita nenek saya ternyata hanyalah rekaan semata-mata. Ada cerita datangnya daripada cerita rakyat yang biasa kita dengar seperti cerita Pak Pandir dan Lebai Malang. Namun, ada juga cerita yang tidak pernah didengari tetapi direka sendiri oleh nenek untuk menyampaikan sesuatu pengajaran.”
Tambah beliau lagi, cerita kutu gergasi ini menjadi inspirasi permulaan beliau dalam berkarya. Beliau mengembangkan cerita tersebut menjadi cerpen lalu menghantar tulisan tersebut ke sidang editorial majalah Dewan Pelajar dan akhirnya diterbitkan.
Tambah Abdullah lagi,
Kisah ini merupakan satu cerita awal yang didedahkan semasa kecil menyebabkan saya minat untuk bercerita dan seterusnya membaca.

Sementara itu, dalam perkongsian lain pula, penulis buku kumpulan cerpen Tumbuh Menjadi Pohon Sakura, Nur Adilla berkongsi pengalaman perasaannya semasa menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR). Ketika itu, perkara yang bermain dalam fikiran beliau ialah masih adakah pelajar yang meminati sastera Melayu?
Menurut Nur Adilla, kebanyakan sekolah lebih memberikan penekanan terhadap aliran sains. Walaupun beliau sendiri mengambil aliran Sains, namun beliau masih mencuba untuk membaca teks rakan-rakannya yang mengambil subjek Sastera Melayu. Beliau turut menyedari bahawa ramai pelajar yang mengambil subjek Sastera hanyalah sekadar untuk peperiksaan walhal mereka sendiri tidak berminat dengan sastera.
Beliau cuba mencari ruang untuk berbicara dengan rakan-rakan MPR tentang karya Sasterawan Negara yang penuh romantis dan puitis. Sebaik sahaja menyertai MPR, beliau berada dalam kalangan orang yang mempunyai minat yang sama.
Nur Adilla menambah lagi,
Program MPR ini sangat bagus untuk diperkasakan supaya dapat memberikan perasaan cinta terhadap sastera dan bahasa Melayu itu sendiri.

Sementara itu, penulis buku kumpulan puisi Momen, Qurratul ‘Ain berkongsi buku autobiografi Adibah Amin yang menjadi dorongan untuk beliau menulis. Kata Qurratul ‘Ain,
Sosok Adibah Amin sangat menarik memandangkan beliau merupakan wartawan tetapi boleh bercakap dan menulis sastera.
Jaymani Sevanathan pula meluahkan bahawa setiap penulis haruslah menerima hakikat bahawa pengarang bukan sekadar mendapat pujian, malah kritikan itu juga sememangnya merupakan perkara yang boleh membina kepengarangan penulis itu sendiri.

Menurutnya, penulis muda tidak harus terlalu mengambil hati apabila karya mereka dikritik. Jelas beliau,
Seorang penulis wajib dikritik untuk kebaikan.


Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar, Timbalan Ketua Editor I Bahagian Majalah, Puan Marsilawati Mohd Rani; Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan, Puan Sylee Riza Arif, para penulis muda dan mahasiswa UKM.