Diterbitkan pada 28 Mei 2025, 11:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Aimi Fazlah binti Mohamed Ramli

Sesi bersama-sama penulis PTS di PBAKL 2025,”Komik-M, Satu Revolusi”.

Kuala Lumpur – “Sebagai seorang penulis dan pelukis, kita harus lebih kreatif daripada penulis dan pelukis pada zaman dahulu,” demikian perkongsian daripada Froggypapa, artis komik terkenal di bawah naungan PTS Publishing House ketika tampil dalam sesi bertajuk “Komik-M, Satu Revolusi” bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.

Menurut beliau, pengkarya pada masa kini berhadapan dengan cabaran yang lebih besar kerana pasaran pembaca semakin selektif dan persaingan semakin sengit, terutama sekali dengan kehadiran pelbagai platform digital.

“Zaman dahulu lebih mudah menjual majalah kerana tidak banyak pilihan dan tiada gangguan alatan digital,” ujar beliau di Pentas Dunia Ilmu, Dewan Tun Razak 3.

Mengulas tentang pendekatan Komik-M dalam menghasilkan kandungan bermutu, Froggypapa memuji inisiatif penerbitan itu yang menyuntik elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam karya mereka, sekali gus memberikan nilai tambah berbanding hiburan semata-mata.

Beliau turut mendedahkan formula kejayaan komiknya, Lawak Budak Sekolah (Kelas Sains), yang kekal dalam senarai 10 buku terlaris di reruai PTS sepanjang tiga hari pertama pesta buku berlangsung.

Rahsianya adalah dengan memasukkan unsur yang relevan dengan zaman, contohnya pengaruh media sosial.

Sesi itu turut menampilkan artis komik prolifik, Bophairy, yang bersependapat bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT hanya wajar dijadikan alat bantu, bukan sumber utama idea.

“Masih perlu ada penapisan dan pengolahan semula oleh manusia,” tegas beliau yang dikenali menerusi siri Ultra Qalif dan Mad x Mech: Kembara di Tanah Gersang.

Barisan buku terlaris sepanjang PBAKL 2025 penerbitan Komik-M.

Tambahnya lagi, disiplin yang tinggi amat penting bagi artis komik untuk terus kekal relevan dan produktif dalam industri yang semakin mencabar.

Sesi selama satu jam ini mendapat sambutan hangat daripada pengunjung dan turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Komik-M, Encik Wan Zuhairi Wan Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Wanzu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi