Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Aimi Fazlah binti Mohamed Ramli
Kuala Lumpur – Siri Puaka Sekolah menampilkan latar tempat sekitar kawasan sekolah yang bertujuan untuk mendidik pembaca, terutamanya pelajar bagi membetulkan beberapa tanggapan salah tentang alam ghaib dalam Islam.
Berbeza daripada kebanyakan novel seram, setiap naskhah dalam Siri Puaka Sekolah mematuhi garis panduannya yang tersendiri. Jika kebiasaan cerita seram mengaitkan roh manusia yang berkeliaran untuk membalas dendam, namun novel keluaran Penerbit X ini pula cuba keluar daripada kebiasaan konsep tersebut.
Menurut ajaran Islam, roh orang yang telah meninggal dunia tidak boleh kembali ke dunia, tetapi yang wujud hanyalah jin yang menyamar sebagai roh untuk menakut-nakutkan atau menyesatkan manusia. Malah, konsep kelahiran semula juga tidak dibenarkan.
Penjelasan ini dikongsikan dalam program Temu dan Sapa bersama-sama barisan penulis Penerbit X yang diadakan di reruai Bookcafe, berhampiran Dewan Tun Hussein Onn semalam, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025.
Seorang daripada penulis, Siti Solehah, yang menulis judul Kem Matematik berkongsi tentang elemen STEM yang diterapkan dalam siri ini yang mula diterbitkan pada tahun 2025.
Selain itu, judul Merentas Desa oleh A. Miruu turut mengetengahkan elemen matematik dan sains, manakala judul Sidang Redaksi oleh Iqbal Rafiuddin pula mengetengahkan elemen teknologi.
Para penulis dalam siri ini mengharapkan agar penjelasan ini dapat meleraikan keraguan pengunjung yang masih ragu-ragu dengan isi kandungan siri Puaka Sekolah ini. Tambahan pula, walaupun siri ini bertemakan seram, jalan ceritanya tidak terlalu berat atau “gelap” memandangkan buku ini disasarkan untuk bacaan golongan remaja.
Program yang berlangsung hampir satu jam ini turut memberikan peluang kepada pengunjung untuk beramah mesra dan merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama penulis Siri Puaka Sekolah.