Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Limbang – Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Limbang mendominasi Pertandingan Bercerita Peringkat Sekolah Rendah (Tahap 2) bersempena dengan Karnival Intelek Limbang pada 21 Mei, lalu, apabila berjaya merangkul tempat pertama dan kedua melalui persembahan cemerlang dua orang pelajarnya, Efa Nahasia David dan Khayla Nuradelia Hasya Mohd Faizal.
Kedua-dua mereka menewaskan peserta dari 18 buah sekolah lain di daerah ini, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohammad Taufiq Mokhtar dari SK Telahak.
Dalam Pertandingan Mewarna (Tahap 1), SK Bandar Limbang sekali lagi menyerlah apabila Hana Zulaikha Hamirul muncul sebagai juara, diikuti rakan sekolahnya, Imarchell Chermai Immanuel di tempat kedua. Tempat ketiga pula menjadi milik Thaqeef Zaydan Mohd Addlie dari SK Melayu Pusat.
Bagi kategori prasekolah, Clarie Samara Anak Charlie dari SK Limpaki diumumkan sebagai pemenang utama. Muhammad Qhalish Risyel Roslan (SK Bandar Limbang) dan Aisya Zayyana Rozaidi (SK Bukit Luba Limbang) masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Karnival Intelek Limbang anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur menerusi Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja ini telah berlangsung dengan meriah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Hin. Sebanyak 30 buah sekolah dari sekitar Limbang mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang dijalankan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Tuan Haji Mat Zinan Haji Wahit yang turut menyampaikan wang tunai, cek cura dan sijil kepada para pemenang. Yang turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Encik Patrick Anak Lukong; Guru Besar SJKC Yuk Hin, Puan Wong Kae Nie; Pegawai Perancang Bahasa DBP, Puan Stephanie Lenya Anak Chaong serta Penolong Perancang Bahasa DBP, Encik Abdul Halim Abdul Latip.
Program ini diharapkan dapat menyemai minat terhadap ilmu dan sastera dalam kalangan murid serta melahirkan generasi berpengetahuan luas yang mampu menyumbang ke arah pembinaan negara MADANI yang berdaya saing.