Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Seniman visual, Ammar Idris, tampil dengan projek terbaharu bertajuk Projek Kolektif Tanah, sebuah eksperimen seni kontemporari yang menyatukan tujuh pengkarya generasi Z dalam wacana mengenai pemilikan kediaman dan hartanah melalui lensa kreatif dan reflektif.
Dikenali menerusi karya yang banyak menyorot soal identiti dan persekitaran, Ammar pada kali ini mengangkat “tanah” bukan sahaja sebagai medium, malah sebagai simbol hubungan spiritual dan fizikal manusia terhadap ruang dan nilai pemilikan. Projek ini mempersoalkan semula hubungan manusia dengan urusan jual beli tanah serta nilai kediaman, menerusi pendekatan seni sebagai medium dialog.
Sebanyak tujuh orang pengkarya pelbagai latar seni antaranya termasuklah, seni halus, penulisan dan teater telah dipertemukan bagi menjayakan projek ini. Pemilihan konsep ini diinspirasikan daripada naratif al-Quran mengenai penciptaan bumi daripada tujuh lapisan langit dan bumi serta tujuh proses penciptaan manusia daripada tanah. Setiap pengkarya menghasilkan karya tersendiri berpandukan tema yang sama, namun dibezakan melalui disiplin dan pendekatan masing-masing.
Projek ini dijangka bakal membentuk sebuah modul seni terbuka yang menekankan proses kolaboratif serta pertukaran idea antara generasi muda. Hasil akhir projek ini akan dipersembahkan kepada khalayak menerusi pameran Tele-Trans di GMBB, Kuala Lumpur bermula 12 Julai hingga 3 Ogos 2025.
Pameran ini akan menampilkan instalasi video dan fragmen karya daripada setiap ahli kolektif sebagai bentuk naratif visual yang pelbagai.
Projek Kolektif Tanah merupakan cerminan kesedaran dan kegelisahan generasi hari ini terhadap masa hadapan pemilikan ruang hidup, yang disampaikan melalui bahasa seni yang berani dan introspektif.