Diterbitkan pada 15 Mei 2025, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pameran seni kontemporari Tarscapes: Journeys of Expressions, yang berlangsung dari 14 April hingga 30 Mei 2025 di Galeri Shah Alam, membuka ruang refleksi mendalam mengenai kesan tindakan manusia terhadap alam sekitar menerusi pendekatan visual yang unik dan berani.

Menampilkan bitumen sebagai medium utama, pameran ini memberikan peluang kepada 16 orang artis tempatan untuk meneroka potensi ekspresif bahan likat yang biasanya digunakan dalam pembuatan jalan raya ke dalam penghasilan karya seni visual mereka.

Antara artis yang terlibat termasuklah, Abdul Hamid Mohamed, Abu Bakar Sabran, Alessia Dona, Alias Yussof, Ati Rosemary, Badrulzzaman Abu, Eng-Seong Lim, Khairi Fakhri, Lalitha Pillay, Liza Othman, Mimi Zaleha, Nanie Othman, Richard Leow, Sharmi Aryanti, Tze Lian, dan Zaim Durulaman.

Satu daripada karya yang menggunakan bahan bintumen dalam Pameran seni kontemporari Tarscapes: Journeys of Expressions.

Setiap karya yang dipersembahkan membawa naratif tersendiri, bukan sahaja dalam menggambarkan alam semula jadi, tetapi juga sebagai ruang refleksi, luahan emosi dan kritikan peribadi artis terhadap isu semasa dan pengalaman hidup mereka.

Bitumen, dengan rona hitam pekat dan tekstur likat, menghasilkan kesan visual seakan-akan “sepia” yang memberikan dimensi dramatik dan puitis kepada karya dua dimensi. Namun, penggunaannya bukanlah sesuatu yang mudah, kawalan terhadap bahan ini memerlukan kemahiran, latihan dan pemahaman mendalam, kerana sifatnya yang sukar kering dan memerlukan teknik konservasi yang khusus untuk memastikan ketahanan jangka panjang karya tersebut.

Bitumen telah digunakan sebagai medium seni sejak akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19, namun dalam seni kontemporari, penggunaannya masih dianggap eksperimental dan mencabar.

Pameran anjuran Galeri Shah Alam ini terbuka kepada orang ramai di Galeri 2, Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan, bermula dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari kecuali cuti umum. Kemasukan adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman sesawang rasmi Galeri Shah Alam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi