Diterbitkan pada 15 Mei 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pengerusi Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN), YBhg. Tan Sri Hajah Norliza Rofli semasa kata alu-aluannya.

Petaling Jaya Anugerah B.O.H Cameronian menyambut ulang tahunnya yang ke-20 dengan penuh gemilang, sekali gus membawa harapan baharu dalam menyemarakkan inspirasi kepada para penggiat seni tanah air. Acara berprestij ini menjadi bukti komitmen Kakiseni dalam terus menjadi pemangkin kepada pembangunan seni budaya negara.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN), YBhg. Tan Sri Hajah Norliza Rofli menegaskan kepentingan anugerah ini untuk terus dikekalkan sebagai pelantar pengiktirafan dan pembangunan seni tanah air.

“Anugerah B.O.H Cameronian ini perlu terus kekal bagi membangunkan seni negara, bukan sahaja untuk 20 tahun, bahkan 200 tahun akan datang,” katanya penuh semangat.

Beliau turut menekankan kepentingan penghayatan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) dalam kalangan masyarakat, khususnya penggiat seni.

“Dasar Kebudayaan Negara perlu disemat dalam jiwa setiap individu agar kita lebih memahami serta menghargai usaha kerajaan dalam menyokong pembangunan seni tempatan,” tambah beliau.

Anugerah yang mula diperkenalkan pada tahun 2002 ini telah menjadi simbol penghargaan kepada sumbangan cemerlang penggiat seni dalam bidang teater, tarian, muzik dan teater muzikal. Pada tahun ini, acara ulang tahun ke-20 turut menyorot semula perjalanan penuh warna-warni anugerah tersebut, antaranya termasuklah mengenang para pemenang terdahulu dan kisah-kisah bersejarah yang membentuk legasinya.

Sekitar acara kemuncak B.O,H Cameronian 2025 yang berlangsung pada 4 Mei 2025, lalu.

Acara kemuncak malam tersebut menampilkan pengumuman pemenang kategori terbaik bagi tahun 2024, yang menyaksikan tiga produksi unggul menerima pengiktirafan tertinggi:

  • Randai Macbeth oleh Pusat Seni Pentas Tradisional, ASWARA
  • Spice, Magic and Mystique oleh The Young KL Singers (TAS Seni Teater Rakyat dan KLPAC)
  • Teater Persiapan Seorang Aktor oleh Studio Sedar Ruang

Senarai penuh penerima Anugerah B.O.H Cameronian 2025 yang berlangsung pada 4 Mei, lalu boleh dilayari di laman sesawang rasmi Kakiseni.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi