Diterbitkan pada 25 April 2025, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

KULIM, Kedah – Buat julung-julung kalinya, sebanyak 70 orang pelajar tingkatan empat, lima dan enam telah berpeluang menyertai Bengkel Penulisan Kreatif yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labu Besar, baru-baru ini.

Bengkel yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara ini mendapat kerjasama erat daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Pusat Sumber Labu, serta Panitia Bahasa Melayu SMK Labu Besar.

Tujuan utama bengkel ini adalah untuk mencungkil dan mengasah bakat penulisan kreatif dalam kalangan pelajar, di samping membantu mereka membina gaya penulisan tersendiri yang lebih mantap dan berkualiti.

Pengetua SMK Labu Besar, Encik Ishak Amin dalam ucapannya menyatakan bahawa pelajar luar bandar juga wajar didedahkan dengan ilmu penulisan agar mereka mampu menghasilkan karya yang mencerminkan kehidupan dan keunikan kawasan masing-masing. Jelasnya lagi,

Pelajar harus memulakan pembelajaran teknik penulisan sejak dari sekolah dengan menyusun watak, dialog serta penggunaan bahasa yang berkesan dalam mencipta karya asli.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DBP, USM, serta barisan guru yang terlibat secara langsung antaranya termasuklah Guru Perpustakaan dan Media, Puan Mastura Hussin, Guru Bahasa Tingkatan Enam, Puan Nik Zuraida Nik Mohd dan Guru Kanan Bahasa, Puan Norifah Nordin, yang telah bersama-sama menjayakan penganjuran bengkel ini.

Antara penceramah utama yang dijemput ialah Pensyarah Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM, Dr. Husairi Hussin atau lebih dikenali sebagai Putraery Ussin. Turut sama memberikan ceramah ialah Pegawai Perancang Bahasa dari DBP Wilayah Utara, Encik Zainal Abidin Mohd Zin.

Rata-rata peserta bengkel menyatakan rasa teruja dan gembira kerana dapat menimba ilmu berharga daripada mereka yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan. Majlis penutupan bengkel telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMK Labu Besar, Encik Hassan Ahmad yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi