Diterbitkan pada 11 April 2025, 14:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

KuantanMalam Gema Puisi Ramadan yang diadakan di perkarangan Stadium Darul Makmur pada 23 Februari 2025 telah berjaya menarik perhatian pencinta seni dan budaya, khususnya dalam dunia puisi Islamik.

Program anjuran Kelab Teater Rajuk yang mendapat sokongan penuh daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Pahang ini telah disempurnakan oleh Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa acara ini bukan hanya bertujuan untuk  mengangkat seni budaya dalam bentuk puisi, tetapi juga sebagai simbol penghormatan terhadap kedatangan bulan Ramadan yang bakal menjelma. Jelasnya lagi,

Puisi mampu menjadi medium yang mengangkat nilai ketakwaan kepada Allah SWT melalui bait-bait puisi yang indah, mesej keinsafan, kasih sayang dan pengharapan kepada Yang Maha Esa. Seni yang lahir daripada hati yang suci akan menyentuh jiwa dan menghubungkan kita dengan fitrah yang sebenar.

Pengarah program, Abdullah Karim atau lebih dikenali sebagai AK Hidayat, turut melahirkan rasa syukur atas kehadiran lebih daripada 40 ahli Kelab Teater Rajuk Pahang yang turut serta dalam acara ini.

 

Malam tersebut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan puisi dan seni budaya yang menampilkan barisan pemuisi terkenal Pahang, antaranya termasuklah Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mansor Abdullah, Dato’ Dr. Ahmad Munawar Jalil, Asmui Mustapha, Farihan Manan, Ifhamuddin Mohamad, Mastura Ismail dan HM Nordin.

Acara ini juga menyaksikan persembahan nyanyian oleh pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Kumpulan Anak Kayan dan pementasan sketsa pendek Selimut Putih. Sebagai penutup, persembahan hebat oleh Kumpulan Kopratasa menghangatkan lagi suasana Malam Gema Puisi Ramadan.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Puan Nurzahira Azmi, wakil Pengarah JKKN Pahang, ahli-ahli Dewan Persuratan Melayu Pahang serta peminat seni dari sekitar Kuantan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi