Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Pahang – Dalam usaha untuk mempererat hubungan antara masyarakat orang asli dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mahasiswa jurusan Kesusasteraan Melayu, di bawah subjek KPG3013 Insan Guru Profesional, telah menganjurkan Program Menyantuni Integrasi Pendidikan Orang Asli di Kampung Penderas, Kuala Krau, Pahang.
Program yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari 10 hingga 12 Januari ini telah dilaksanakan dengan pelbagai aktiviti menarik di Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program termasuklah, Sesi Bercerita Tradisional yang disampaikan oleh tok batin, Sembang Santai Bersama-sama Ibu Bapa, Malam Kebudayaan serta Pertandingan Sastera dan Budaya. Penganjuran aktiviti ini secara tidak langsung berperanan dalam memupuk nilai MADANI di perkampungan tersebut.


Sebagai sebahagian daripada persiapan untuk persembahan Malam Kebudayaan, pelajar SK Penderas telah dibahagikan kepada tujuh kumpulan. Persembahan ini melibatkan sajak, tarian, cerita rakyat dan nyanyian yang diadakan sebagai satu platform untuk penyebaran ilmu sastera kepada masyarakat orang asli.
Pada hari kedua program, Guru Besar SK Penderas, Haji Hamdan bin Ahmad @ Abd Razak, dalam ucapannya, menyambut baik usaha yang dilakukan oleh mahasiswa UPSI yang sanggup turun ke padang untuk bersama-sama komuniti orang asli.
Beliau turut menyatakan bahawa, antara universiti yang sering bekerjasama dengan komuniti orang asli termasuklah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini telah disempurnakan oleh YB Adun Jenderak, Dato’ Rodzuan Zaaba.
Idea penganjuran program ini dicetuskan oleh pensyarah subjek KPG3013 Insan Guru Profesional, Profesor Dr. Azhar Wahid, yang pernah menetap tidak jauh dari perkampungan ini.
Melalui program ini, mahasiswa UPSI berpeluang untuk melihat dan memahami dengan lebih mendalam kehidupan serta sistem pendidikan masyarakat orang asli, sekali gus mempersiapkan diri mereka untuk menjadi guru yang lebih peka terhadap keperluan komuniti tersebut.
“Satu kelas satu papan hitam garis tengah,” kata tok batin ketika bercerita tentang sejarah Kampung Penderas.
Pada akhir program, beliau turut berpesan kepada para pelajar SK Penderas dan mahasiswa UPSI untuk belajar bersungguh-sungguh dan menghargai peluang menuntut ilmu yang masih ada.