Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Membincangkan konsep perubahan iklim terhadap kewujudan zooplankton kepada pembaca kanak-kanak mungkin dianggap sebagai topik yang berat, namun buku Kaori Si Kopepod dan Kaori the Copepod membuktikan bahawa isu perubahan iklim dan pemanasan global boleh diketengahkan dengan cara yang menarik dan mudah difahami oleh golongan muda.
Buku hasil karya pensyarah dan penyelidik Fakulti Sains Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YBrs. Profesor Dr. Nurul Huda Ahmad Ishak ini dilancarkan dalam dua versi bahasa, iaitu dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada awal tahun ini.
Buku tersebut menjadi topik utama dalam program Bicara Karyawan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bersiaran secara langsung di media sosial DBP pagi tadi, dengan YBrs. Puan Noor Haffiesza Ahmad sebagai moderator.
Menurut YBrs. Profesor Dr. Nurul Huda, idea untuk menulis buku kanak-kanak timbul ketika beliau menyambung pengajian kedoktoran di Australia. Dalam satu program bersama kanak-kanak prasekolah ke sebuah pusat eksplorasi marin, beliau mendapati bahawa mereka mampu menjawab soalan yang biasanya hanya diajarkan di peringkat universiti.
“Saya terkejut kerana mereka dapat menjawab soalan mengenai lapisan laut yang biasanya diajar dalam silibus Oseanografi semester satu. Ini membuktikan bahawa dengan pendedahan awal melalui buku yang sesuai, kanak-kanak mampu memahami konsep sains yang kompleks,” ujar beliau.
Setelah pulang ke Malaysia, beliau berazam untuk menghasilkan buku kanak-kanak yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik tentang perubahan iklim dan ekosistem laut.
Kaori Si Kopepod membawa pembaca muda menyelami kesan perubahan iklim terhadap zooplankton, makhluk mikroskopik yang menjadi asas kepada rantaian makanan laut. YBrs. Profesor Dr. Nurul Huda menjelaskan bahawa walaupun perubahan iklim sering disebut dalam kehidupan seharian, impaknya terhadap hidupan marin yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar jarang diberi perhatian.
“Buku ini membantu kanak-kanak memahami bagaimana suhu air laut yang meningkat memberi kesan kepada ekosistem laut secara keseluruhan, termasuk kepada Kaori yang menjadi watak utama,” katanya.
Antara cabaran terbesar dalam penulisan buku ini adalah menyesuaikan laras bahasa supaya sesuai dengan pemahaman kanak-kanak.
“Sebagai pensyarah, saya terbiasa menggunakan istilah saintifik seperti ‘zon mesopelagik’, tetapi untuk kanak-kanak, istilah ini perlu diolah dengan cara yang lebih mesra tanpa menghilangkan konsep asalnya,” tambah beliau.
Selain bahasa, ilustrasi juga memainkan peranan penting. Buku ini mendapat sentuhan ilustrasi daripada YBrs. Encik Amirul Jamil, seorang pelajar sains marin yang turut berbakat dalam bidang seni. Menggunakan teknik cat minyak, Amirul memastikan watak-watak dalam buku ini mengekalkan ciri-ciri morfologi saintifik yang sebenar, sambil tetap menarik minat kanak-kanak.
Buku ini bukan sekadar bacaan santai, sebaliknya membawa mesej yang mendalam tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar.
“Walaupun nampak berwarna-warni dan menyeronokkan, buku ini sebenarnya menyampaikan mesej yang serius. Kanak-kanak perlu didedahkan dengan kesan perubahan iklim sejak kecil kerana mereka adalah ejen perubahan dan pemimpin masa hadapan,” kata YBrs. Profesor Dr. Nurul Huda.
Beliau berharap Kaori Si Kopepod dan Kaori the Copepod dapat menjadi bahan bacaan yang memberi impak kepada generasi muda, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.